Pengamal media di Perak terima RM500 dari kerajaan negeri

Zamri (tengah) bersama wartawan Sinar Harian Perak meraikan kemenangan merangkul tempat ketiga bagi Anugerah Berita Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Media Cetak Bahasa Melayu) dan Anugerah Video Digital Perak Sejahtera 2030 Terbaik sempena Malam Media Perak Sejahtera 2025 di Galasa Caldwell di sini pada malam Isnin.
Zamri (tengah) bersama wartawan Sinar Harian Perak meraikan kemenangan merangkul tempat ketiga bagi Anugerah Berita Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Media Cetak Bahasa Melayu) dan Anugerah Video Digital Perak Sejahtera 2030 Terbaik sempena Malam Media Perak Sejahtera 2025 di Galasa Caldwell di sini pada malam Isnin.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan insentif sekali beri sebanyak RM500 bagi setiap pengamal media di Perak sebagai menghargai peranan dan sumbangan besar dalam menjayakan agenda pembangunan negeri menerusi pelan Perak Sejahtera 2030.

Beliau berkata, dalam menjayakan agenda Perak Sejahtera 2030, peranan media menjadi semakin penting apabila kisah kejayaan, inisiatif pembangunan dan pencapaian negeri disampaikan secara berterusan kepada rakyat melalui pelbagai platform termasuk akhbar, televisyen, radio dan media digital.

Menurutnya, kejayaan dasar, inisiatif dan perancangan kerajaan negeri hanya dapat dirasai serta difahami rakyat apabila ia disampaikan dengan jelas, jujur dan berkesan oleh media.

"Apa sahaja yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan, akhirnya akan dinilai melalui cara ia disampaikan kepada masyarakat. Ada kalanya satu laporan yang jelas dan jujur, menjadi jauh lebih berkesan daripada paparan berpuluh halaman dokumen rasmi.

"Sepanjang perjalanan ini, saya telah melalui pelbagai fasa yang mengakrabkan saya dengan media. Ada masanya saya menerima pujian. Ada waktunya saya menerima teguran dan ada waktunya saya juga dipanah dengan kritikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Media Perak Sejahtera 2025 di Galasa Caldwell di sini pada malam Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Exco-exco kerajaan negeri; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak, Sayed Mohd Hesham Sayed Idris.

Saarani berkata, hubungan kerajaan negeri dengan media tidak seharusnya bersifat sementara atau kebetulan, sebaliknya perlu dipelihara secara berterusan berasaskan kepercayaan, keterbukaan dan rasa tanggungjawab bersama.

Menurut beliau, laporan media yang mengandungi kritikan, teguran atau persoalan tajam tidak wajar dilihat sebagai serangan, sebaliknya sebagai cermin untuk memperbaiki kelemahan dan memperkemaskan langkah pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, hubungan yang sihat antara kerajaan dan media mampu memastikan naratif pembangunan difahami dengan betul, isu diletakkan dalam konteks tepat dan rakyat tidak terperangkap dalam kekeliruan atau persepsi yang disalah tafsir.

Dalam masa sama, Saarani mengingatkan bahawa dalam dunia yang dipenuhi maklumat separuh benar, sensasi dan manipulasi emosi, peranan media yang bertanggungjawab serta menitikberatkan ketepatan amat penting.

Sementara itu, Sinar Harian berjaya menggondol dua anugerah iaitu tempat ketiga Anugerah Berita Perak Sejahtera 2030 Terbaik (Media Cetak Bahasa Melayu) dan tempat ketiga Anugerah Video Digital Perak Sejahtera 2030 Terbaik.

Ringkasan AI

  • Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan insentif RM500 bagi setiap pengamal media di Perak
  • Insentif diberikan sebagai penghargaan atas sumbangan media dalam menjayakan agenda Perak Sejahtera 2030
  • Media memainkan peranan penting dalam menyampaikan informasi mengenai pembangunan dan pencapaian negeri kepada rakyat
  • Saarani menekankan pentingnya hubungan kerajaan dengan media yang berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab bersama
  • Hubungan sihat antara kerajaan dan media memastikan naratif pembangunan difahami dengan betul dan mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!