KSR Arena Series 2025 perkukuh kesukanan, perpaduan warga SPRM

Azam (tengah) bergambar bersama pasukan bola tampar VIP Ibu Pejabat di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Azam (tengah) bergambar bersama pasukan bola tampar VIP Ibu Pejabat di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti sukan merupakan medium berkesan untuk menggalakkan gaya hidup sihat selain memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penganjuran aktiviti sukan penting dalam mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal.

"Bukan itu sahaja, aktiviti ini turut berupaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam organisasi.

"Saya mengalu-alukan kehadiran semua peserta dari bahagian dan negeri yang membuktikan komitmen serta semangat tinggi untuk menjayakan kejohanan ini,” katanya ketika merasmikan KSR Arena Series 2025 Kejohanan Bola Tampar dan Ping Pong Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di SkyArena Sports Complex di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) SPRM, Mohd Fadzil Md Amin berkata, kejohanan berkenaan disertai 49 pasukan melibatkan 278 peserta dari seluruh negara.

Menurutnya, penganjuran kejohanan itu selari dengan usaha membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan warga SPRM selain meningkatkan kerjasama dan semangat berpasukan.

"Ia juga menjadi platform mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP).

"Aktiviti ini turut memberi ruang kepada pegawai dan kakitangan saling mengenali dalam suasana lebih santai dan sihat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, perlawanan persahabatan bola tampar antara pasukan VIP Ibu Pejabat dan VIP SPRM Negeri turut diadakan, menyaksikan pasukan Ibu Pejabat menewaskan pasukan SPRM Negeri 2-0 sebagai simbolik semangat perpaduan dan kesukanan dalam organisasi.

Artikel Berkaitan:

Bagi acara ping pong kategori wanita, pasukan Net Dominators muncul juara, diikuti Just Nice di tempat kedua, manakala tempat ketiga bersama menjadi milik pasukan Nyala Semangat dan KDA Queens 2.

Dalam saingan beregu lelaki ping pong, gelaran juara dirangkul pasukan BUTSA BAK, diikuti Kaki Spin sebagai naib juara, manakala tempat ketiga bersama diraih Untouchaballs dan PAC.

Sementara itu, bagi acara bola tampar campuran, pasukan MACA dinobatkan sebagai juara, diikuti Spyker FC (Perisikan) selaku naib juara dan BHK (Keselamatan) di tempat ketiga, manakala Selangor di kedudukan keempat.

Selain itu, anugerah jersi terbaik dimenangi pasukan Investigator Spikerz (Siasatan). Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Lelaki dirangkul Ahmad Shafwan Ahmad Zulkifli, manakala MVP Wanita menjadi milik Nur Maisarah Anggalum dari pasukan MACA.

Turut hadir, Pengarah-Pengarah Kanan serta Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

 

 

Ringkasan AI

  • Aktiviti sukan dikatakan sebagai medium untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh semangat kesukanan serta perpaduan di kalangan warga SPRM
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menyatakan aktiviti sukan penting untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan fizikal
  • Kejohanan ini berlangsung di SkyArena Sports Complex dengan kehadiran peserta dari bahagian dan negeri yang menunjukkan komitmen mereka
  • Sebanyak 49 pasukan melibatkan 278 peserta dari seluruh negara menyertai kejohanan, yang bertujuan untuk membudayakan gaya hidup aktif
  • Acara ini juga menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dan menggalakkan hubungan silaturahim dalam organisasi dalam suasana santai dan sihat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!