Kampung Pachitan kampung contoh KKP, Kampung Angkat Madani pertama fokus latihan

Aminuddin (dua dari kanan) pada Program Gotong-Royong dan Pengindahan Komuniti Kampung Pachitan anjuran NIOSH di Kampung Pachitan.
Aminuddin (dua dari kanan) pada Program Gotong-Royong dan Pengindahan Komuniti Kampung Pachitan anjuran NIOSH di Kampung Pachitan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kampung Pachitan di Port Dickson, Negeri Sembilan bakal dibangunkan sebagai Kampung Angkat Madani pertama yang memberi tumpuan khusus kepada latihan, terutama berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kampung berkenaan juga akan dijadikan kampung contoh yang menerapkan amalan KKP dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan persekitaran kekal selamat kepada penduduk serta pelancong yang menginap di kemudahan inap desa.

Beliau berkata, dengan penglibatan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang mengambil Kampung Pachitan sebagai kampung angkat, perancangan itu diyakini dapat direalisasikan demi manfaat masyarakat setempat.

“Dengan bantuan NIOSH, saya percaya apa yang dirancang ini bakal menjadi kenyataan demi faedah masyarakat Kampung Pachitan,” ujarnya.

Beliau ditemui pemberita ketika merasmikan Program Gotong-Royong dan Pengindahan Komuniti Kampung Pachitan anjuran NIOSH di Kampung Pachitan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye; serta Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh.

Antara aktiviti dijalankan sempena Program Gotong-Royong dan Pengindahan Komuniti Kampung Pachitan anjuran NIOSH di Kampung Pachitan.
Antara aktiviti dijalankan sempena Program Gotong-Royong dan Pengindahan Komuniti Kampung Pachitan anjuran NIOSH di Kampung Pachitan.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif NIOSH untuk menerapkan aspek KKP di Kampung Pachitan, termasuk pelaksanaan kursus berkaitan menggunakan kemudahan yang dibina di bawah peruntukan Kampung Angkat Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut membantu NIOSH meningkatkan tahap KKP di kampung berkenaan, termasuk dalam pengurusan inap desa, aktiviti komuniti serta pendedahan peluang kerjaya kepada golongan belia dalam bidang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ayop berkata, Kampung Pachitan dipilih sebagai kampung angkat NIOSH kerana ia terkenal dengan program inap desa yang menjadi pilihan pelancong serta pekerja industri dari loji janakuasa berhampiran.

Menurutnya, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diberi perhatian serius bagi menjamin kesejahteraan penduduk kampung, pelancong serta pekerja industri yang menetap di kawasan itu.

“NIOSH akan menggunakan kemudahan di Kampung Pachitan sebagai pusat latihan pekerja dan pembangunan kapasiti komuniti. Kita mahu menyediakan persekitaran latihan yang berbeza, di mana peserta boleh tinggal di inap desa dan menyertai latihan di dewan yang akan disiapkan awal tahun hadapan,” ujarnya.

Di bawah Inisiatif Kampung Angkat Madani NIOSH, Kerajaan Madani menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk Kampung Pachitan, termasuk pembinaan dewan tertutup komuniti, taman permainan kanak-kanak, sokongan kepada projek ekonomi penduduk serta naik taraf kemudahan berkaitan inap desa.

Selain itu, menerusi Program Sekolah Angkat Madani, peruntukan tambahan RM100,000 disalurkan melalui NIOSH kepada Sekolah Menengah Agama Chuah bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan padang sekolah.

Program Gotong-Royong dan Pengindahan Komuniti Kampung Pachitan anjuran NIOSH dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pachitan adalah sebahagian pendekatan Kerajaan Madani yang menekankan kehadiran agensi kerajaan di peringkat akar umbi.

 

Ringkasan AI

  • Kampung Pachitan di Port Dickson akan dibangunkan sebagai Kampung Angkat Madani pertama yang memberi tumpuan kepada latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan
  • Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan kampung itu sebagai contoh amalan keselamatan dan kesihatan dalam setiap aspek kehidupan
  • Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) terlibat dalam menjadikan Kampung Pachitan sebagai kampung angkat
  • Kerajaan negeri menyokong inisiatif NIOSH dengan menggunakan kemudahan yang dibina untuk kursus berkaitan keselamatan dan kesihatan
  • Inisiatif ini termasuk pembinaan dewan komuniti, taman permainan, sokongan kepada projek ekonomi lokal, dan peningkatan fasiliti inap desa dengan peruntukan RM1 juta dari Kerajaan Madani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!