'Saya tidak berniat remehkan bantuan Malaysia' - Menteri Dalam Negeri Indonesia

JAKARTA - Menteri Dalam Negeri (Mendagri) Indonesia, Tito Karnavian menegaskan, beliau tidak pernah berniat untuk meremehkan bantuan dan sokongan rakyat serta kerajaan Malaysia kepada mangsa bencana di Aceh.
Tito memberi respons segera susulan tular kenyataan bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Rais Yatim yang meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan yang dianggap memperlekehkan bantuan tersebut.
“Kenyataan saya sebelum ini mungkin telah disalah tafsir. Saya sama sekali tidak berniat untuk memperkecilkan bantuan dan sokongan daripada rakyat Malaysia kepada Aceh,” katanya di Halim Perdanakusuma, Jakarta pada Jumaat.
Tito turut memohon maaf secara terbuka jika kenyataannya menimbulkan persepsi negatif.
Beliau menegaskan, hubungan peribadi dan profesional dengan Malaysia telah terjalin lama dan erat, sejak kerjasama pasca pengeboman Bali ketika beliau masih berkhidmat dalam pasukan polis dan Densus 88, seterusnya semasa memegang jawatan Ketua Polis hingga sebagai Menteri Dalam Negeri.
Menurut Tito, penekanan utama kenyataannya bukan untuk membandingkan kepentingan bantuan luar negara, sebaliknya meminta agar usaha besar pemerintah dari peringkat daerah hingga pusat turut diberikan penghargaan yang setara walaupun banyak dilaksanakan tanpa liputan media.
Tito sekali lagi menegaskan komitmennya untuk menjaga hubungan serumpun antara Indonesia dan Malaysia. - Agensi
Ringkasan AI
- Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian menegaskan tidak bermaksud merendahkan bantuan Malaysia kepada Aceh
- Tito memberi respons kepada kenyataan Tan Sri Rais Yatim yang kecewa dengan pandangannya yang dianggap meremehkan
- Beliau mengakui kenyataannya mungkin disalah tafsir dan tidak bermaksud mengecilkan sokongan Malaysia
- Tito memohon maaf jika kenyataannya menimbulkan persepsi negatif dan menekankan hubungan erat Indonesia-Malaysia
- Menegaskan pentingnya menghargai usaha pemerintah Indonesia dalam penanganan bencana tanpa memandang kepentingan liputan media
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

