Puteri Mahkota Norway perlu jalani pemindahan paru-paru

COPENHAGEN - Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, 52, memerlukan paru-paru baharu, menurut kenyataan Kerabat Diraja Norway pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut kenyataan itu, keadaan kesihatan baginda yang berpunca daripada penyakit paru-paru kronik semakin merosot dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini sehingga menyebabkan pemindahan paru-paru kini menjadi langkah perlu yang seterusnya.
Doktor baginda, Are Martin Holm berkata, tarikh Mette-Marit akan disenaraikan dalam senarai menunggu untuk pemindahan paru-paru itu masih belum ditentukan.
"Beta sentiasa berharap agar penyakit ini dapat dikawal dengan ubat-ubatan," titah Mette-Marit dalam satu temu bual bersama penyiar televisyen NRK.
Baginda bertitah, keadaan kesihatannya merosot lebih cepat daripada apa yang diharapkan oleh baginda dan pasukan doktor.
Mette-Marit didiagnosis menghidap sejenis penyakit fibrosis pulmonari yang jarang berlaku, iaitu penyakit paru-paru kronik, tujuh tahun lepas. Baginda mendedahkan penyakitnya kepada umum pada Oktober 2018.
Penyakit berkenaan boleh menyebabkan sesak nafas, yang menjadi punca mengapa puteri berkenaan berulang kali terpaksa membatalkan tugas-tugas rasmi baginda sebelum ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, memerlukan pemindahan paru-paru
- Keadaan kesihatan Mette-Marit merosot akibat penyakit paru-paru kronik
- Tarikh untuk pemindahan paru-paru masih belum ditentukan
- Mette-Marit didiagnosis menghidap fibrosis pulmonari tujuh tahun lalu
- Penyakit tersebut menyebabkan sesak nafas dan membatalkan tugas rasmi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
