Mayat wanita dalam beg: Lelaki ditahan miliki enam rekod jenayah

SEREMBAN - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 petang di Melaka, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.
"Lelaki itu kini direman seminggu hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, lelaki terbabit berkemungkinan mengenali mangsa dan setakat ini polis belum mempunyai maklumat sama ada dia terlibat secara langsung atau tidak dalam kes itu.
Lelaki itu juga, katanya, memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk dadah dan polis percaya terdapat beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kes berkenaan.
Muhammad Idzam berkata, proses bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Rembau.
Pada Khamis, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, mayat ditemukan dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, di sini dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, sejak 8 Disember lepas.
Beliau berkata, laporan berhubung kehilangan wanita itu diterima Balai Polis Ampang, Ampang Jaya, pada Isnin lepas sebelum polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi yang dikesan terdapat perlakuan jenayah. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditahan berkaitan dengan kes penemuan mayat wanita dalam beg
- Mayat tersebut ditanam di belakang rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas
- Ditahan di Melaka dan direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Lelaki berkenaan memiliki enam rekod jenayah lampau dan berkemungkinan mengenali mangsa
- Mayat ditemukan adalah wanita yang dilaporkan hilang di Ampang sejak 8 Disember lepas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
