Tarikh akhir laporan mental pelajar tikam rakan sekolah 16 Januari

PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, menetapkan 16 Januari tahun hadapan untuk keputusan laporan lengkap berhubung pemeriksaan mental pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan) yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Oktober lalu.
Peguam, Kitson Foong yang mewakili tertuduh berusia 14 tahun berkata, Majistret, Amira Sariaty Zainal menetapkan tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonannya untuk melanjutkan tempoh penilaian psikiatri ke bulan hadapan.
"Ini kerana Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak memerlukan masa sehingga tiga bulan bagi menilai tahap mental anak guam.
"Pakar di hospital juga perlu menemu bual ahli keluarga, menyediakan dokumentasi sejarah tingkah lakunya di rumah dan sekolah, maka semua itu akan diperoleh dengan bantuan pegawai penyiasat," katanya.

Dalam prosiding hari ini, Kitson berkata, tertuduh tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan dan penilaian psikiatri.
Sejak ditempatkan di hospital bermula 22 Oktober lalu, beliau berkata, pelajar lelaki itu berada dalam keadaan baik dan menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan.
“Setahu saya, semasa di hospital, dia memberi maklum balas yang bagus," katanya menambah pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga (kelas peralihan) di bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup atau tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali.
Ringkasan AI
- Mahkamah Majistret Petaling Jaya menetapkan 16 Januari tahun hadapan untuk keputusan laporan pemeriksaan mental pelajar Tingkatan Satu yang didakwa membunuh
- Hospital Bahagia Ulu Kinta memerlukan masa hingga tiga bulan untuk menilai tahap mental tertuduh
- Pakar perlu menemu bual ahli keluarga dan menyediakan dokumentasi sejarah tingkah laku tertuduh
- Tertuduh tidak hadir ke mahkamah kerana menjalani rawatan dan penilaian psikiatri
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh seorang pelajar di sekolah menengah di Bandar Utama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

