Pemburu haram dicekup, hidupan liar bernilai RM121,550 dirampas

Sebuah rumah di Kampung Lawang, Tanah Merah yang diserbu menerusi operasi OBK pada Rabu - Gambar kecil (Abdul Kadir)
Sebuah rumah di Kampung Lawang, Tanah Merah yang diserbu menerusi operasi OBK pada Rabu - Gambar kecil (Abdul Kadir)
A
A
A

TANAH MERAH – Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pemburuan haram dan penyimpanan spesies burung dilindungi terbongkar selepas dicekup di sebuah rumah di Kampung Lawang, di sini pada Rabu.

Penahanan itu dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, hasil maklumat serta aduan awam.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, lelaki itu ditahan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 12/2025 Zon Timur pada jam 8.15 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati suspek telah menyimpan, memelihara dan mengurung beberapa spesies burung dan haiwan liar yang dilindungi.

"Rampasan melibatkan tiga unit kuku dan satu taring yang disyaki anggota bahagian beruang, selain 15 ekor burung daripada spesies merbah luris leher, serindit, merbah kapur, selayang dan ruak-ruak.

"Turut dirampas ialah dua ekor beruk serta telefon bimbit untuk tindakan lanjut undang-undang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Antara spesies burung yang dirampas Perhilitan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lawang, Tanah Merah pada Rabu. - Foto: Perhilitan
Antara spesies burung yang dirampas Perhilitan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lawang, Tanah Merah pada Rabu. - Foto: Perhilitan

Beliau berkata, nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM121,550 dan siasatan awal mendapati hidupan liar tersebut disyaki dipelihara tanpa lesen atau permit sah daripada Jabatan Perhilitan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berusia 59 tahun dipercayai merupakan pemburu yang sudah lama berkecimpung dalam aktiviti ini dan hidupan liar yang diburu adalah untuk dijual," ujarnya.

Tegasnya, kesemua barang rampasan dan hidupan liar telah diambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan akan dirujuk untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].

Ringkasan AI

  • Kegiatan seorang lelaki pemburu haram terbongkar di Kampung Lawang, Tanah Merah
  • Penahanan dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara bersama Pasukan Gerakan Am
  • Lelaki itu ditahan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah dengan barang rampasan termasuk spesies burung dilindungi
  • Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM121,550
  • Suspek berusia 59 tahun didakwa memburu dan memelihara hidupan liar tanpa lesen sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!