Sinar Harian rangkul tempat ketiga Anugerah Media Pembinaan CIDB

Sinar Harian merangkul tempat ketiga di Malam Media KKR dan Anugerah Media Pembinaan CIDB, di sini pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB.
Sinar Harian merangkul tempat ketiga di Malam Media KKR dan Anugerah Media Pembinaan CIDB, di sini pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sinar Harian merangkul tempat ketiga bagi kategori Media Cetak dan Portal Berita (Laporan Khas Berita) menerusi Malam Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Laporan khas muka depan bertajuk 'Dilema Rumah Pasang Siap' dihasilkan oleh wartawan Meja Nasional, Nurul Huda Husain dan Siti Noor Faezah Muda.

Menurut Nurul Huda, ia bukan kemenangannya dan rakan sekerja semata-mata, tetapi buat Sinar Harian juga secara keseluruhannya.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya bos-bos di bahagian editorial kerana menyunting berita kami hingga melayakkan kami memperoleh kemenangan ini.

"Kemenangan ini juga diharap menjadi pembakar semangat kepada kami dan rakan-rakan di Sinar Harian untuk menghasilkan laporan lebih berkualiti pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis yang diadakan di M Resort & Hotel, di sini pada Rabu.

Penerima tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi berserta sijil penghargaan daripada CIDB.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika ucapan perasmian berkata, media berperanan sebagai rakan strategik penting bagi memastikan ketelusan, pematuhan peraturan serta keberkesanan pelaksanaan dasar dalam sektor pembinaan negara.

Tambah beliau, melalui laporan yang tepat, seimbang, media bukan sahaja membantu menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan, malah menjadi pemangkin kepada pematuhan piawaian keselamatan, kualiti kerja dan amalan pembinaan mampan.

“Dalam sektor pembinaan yang melibatkan kepentingan awam dan dikawal selia secara ketat, liputan media berkualiti mampu memperkukuh akauntabiliti industri dan penguatkuasaan dasar.

Artikel Berkaitan:

"Penganjuran majlis kali kelapan ini cukup melambangkan hubungan erat dan strategik antara kementerian, agensi serta rakan media.

"Dalam masa sama menggalakkan penghasilan kandungan kewartawanan berkualiti berkaitan industri pembinaan, termasuk isu keselamatan tapak binaan, kelestarian alam sekitar, teknologi baharu dan pembangunan mampan," ujarnya.

Sebanyak 187 penyertaan diterima merangkumi kategori media cetak dan portal berita, televisyen dan video dalam talian, radio, fotografi serta infografik.

Ringkasan AI

  • Sinar Harian merangkul tempat ketiga dalam kategori Media Cetak dan Portal Berita di Malam Media KKR dan Anugerah Media Pembinaan CIDB
  • Laporan khas bertajuk 'Dilema Rumah Pasang Siap' oleh Nurul Huda Husain dan Siti Noor Faezah Muda
  • Nurul Huda menganggap kemenangan sebagai pencapaian keseluruhan Sinar Harian
  • Penerima tempat ketiga menerima wang tunai RM2,000, trofi dan sijil penghargaan dari CIDB
  • Menteri Kerja Raya menekankan peranan media sebagai rakan strategik dalam memastikan ketelusan dan pematuhan dalam sektor pembinaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!