Sinar Harian rangkul tempat ketiga Berita Digital Terbaik


KUALA TERENGGANU – Sinar Harian meraih tempat ketiga dalam kategori Berita Digital Terbaik sempena Majlis Apresiasi Media Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini malam tadi.
Pengiktirafan itu diperoleh menerusi karya wartawan Norhaspida Yatim yang mempertaruhkan laporan berita bertajuk 'Ini hadiah istimewa Aidiladha' melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta plak penghargaan.
Majlis anjuran kerajaan negeri itu bertujuan menghargai sumbangan pengamal media termasuk penggiat media sosial dalam menyampaikan maklumat sahih dan beretika kepada masyarakat.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam ucapannya, Muhammad Khalil berkata, media memainkan peranan penting sebagai penyambung antara kerajaan dan rakyat, khususnya dalam menyampaikan maklumat yang seimbang dan membina.
"Kita bukan lagi melihat media sebagai lapisan keempat, bahkan ia kini menjadi teras utama dalam membentuk persepsi awam, kestabilan sosial dan hala tuju negara.
"Setiap berita yang dilaporkan, setiap suara yang disuarakan, memberi kesan besar terhadap kefahaman masyarakat dan pemikiran umum," katanya.
Majlis tersebut yang kali terakhir diadakan pada 2022 turut mempertandingkan beberapa kategori lain antaranya Berita Media Cetak Terbaik, Foto Media Cetak Terbaik, Video Media Digital Terbaik, serta Pempengaruh dan Halaman Media Sosial Terbaik.
Turut menerima pengiktirafan Mohd Noor Sulaiman dan Suhaimi Taib yang dinobatkan sebagai Tokoh Media Berjasa.
Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerima anugerah tertinggi sebagai Tokoh Media Berpengaruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
