Lelaki didakwa miliki pistol tanpa kebenaran, ugut mangsa

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran, dalam kejadian awal bulan ini.
Tertuduh, Kor Wei Ye, 37, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol jenama 'Sigarms' warna silver tanpa kebenaran yang sah.
Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 9 pagi di sebuah rumah dekat Bandar Laguna Merbok di sini 7 Disember lalu.

Oleh demikian, dia telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh hukum bawah Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan maksimum enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili Peguam Chong Choon Yuen.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku tidak bersalah atas lima lagi pertuduhan termasuk memiliki 10 butir peluru tanpa lesen, tiga ugutan jenayah kepada tiga mangsa berbeza dan memiliki dadah jenis ketamin seberat 45.5 gram.
Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi menetapkan tarikh serahan laporan kimia (kes dadah) pada 21 April 2026 sementara kes lain ditetapkan pada 21 Januari.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan peguam sama mewakili tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga kes di Mahkamah Sesyen selesai.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Sungai Petani mengaku tidak bersalah memiliki senjata api tanpa kebenaran
- Tertuduh berumur 37 tahun dan pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin
- Dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenama 'Sigarms' warna silver tanpa kebenaran sah
- Tertuduh juga menghadapi lima lagi pertuduhan termasuk memiliki peluru tanpa lesen, ugutan jenayah, dan memiliki dadah
- Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga kes di Mahkamah Sesyen selesai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

