FIFA hukum FAM, tiga perlawanan antarabangsa Harimau Malaya diisytiharkan kalah 3-0

Jon Irazabal (tengah) dan Facundo Garces antara pemain yang beraksi ketika menentang Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Bukit Jalil pada September lalu. Foto Bernama
Jon Irazabal (tengah) dan Facundo Garces antara pemain yang beraksi ketika menentang Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Bukit Jalil pada September lalu. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerima hukuman terbaharu daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kes menurunkan pemain yang didapati tidak layak dalam beberapa perlawanan antarabangsa Tier 1.

Menurut kenyataan FAM, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember lalu, dipengerusikan Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Jorge Palacio.

Hasil siasatan, jawatankuasa itu mendapati FAM telah melakukan pelanggaran terhadap Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).

Sehubungan itu, FIFA mengisytiharkan Malaysia kalah dengan jaringan 3-0 bagi tiga perlawanan antarabangsa Tier 1 yang terlibat.

Ia membabitkan aksi menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang sebelum ini berakhir seri 1-1.

Turut terkesan ialah perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 yang menyaksikan Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-1, selain aksi menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September 2025 yang berakhir dengan kemenangan 1-0.

Selain keputusan kekalahan teknikal tersebut, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).

“FAM akan mengemukakan permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya berkaitan perkara ini,” menurut kenyataan berkenaan.

FAM turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti keputusan itu secara menyeluruh sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • FAM menerima hukuman dari FIFA berkenaan kes pemain tidak layak dalam perlawanan antarabangsa Tier 1
  • Keputusan hukuman diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 12 Disember
  • Malaysia dinyatakan kalah 3-0 dalam tiga perlawanan yang terlibat termasuk menentang Cape Verde, Singapura, dan Palestin
  • FAM dikenakan denda sebanyak CHF10,000
  • FAM akan mengemukakan permohonan untuk alasan keputusan sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!