Pemuda panik rugi RM20,000 ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemuda mengalami kerugian apabila wang simpanan hampir RM20,000 lesap gara-gara panik selepas menerima panggilan yang mengaitkannya dengan aktiviti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai mahkamah dan memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit RM10,180.72, namun mangsa menafikannya, sebelum panggilan disambungkan ke balai polis dan mangsa dimaklumkan pula terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

Beliau berkata, suspek mendakwa dirinya pegawai polis dari Bukit Aman meminta mangsa memberikan kerjasama bagi membolehkan siasatan dilakukan dan meminta mangsa mematuhi semua arahan bagi menyelesaikan kes.

"Suspek kemudian meminta mangsa memindahkan wang dengan meminta kata nama dan kata laluan miliknya dan tanpa berfikir panjang, mangsa mengikuti permintaan itu sebelum mendapati wang berjumlah RM19,998 dalam akaunnya lesap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan selepas menyedari dirinya ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Ekoran daripada itu, mangsa datang ke balai polis buat laporan kerana dipercayai dirinya telah ditipu," katanya.

Sementara itu, Mohd Wazir menasihatkan orang ramai tidak sesekali terpedaya dengan iklan pinjaman mudah melalui laman sosial sebaliknya berurusan terus dengan syarikat pinjaman berlesen atau institusi bank yang lebih terjamin.

"Ia bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan iklan pinjaman tidak wujud sebagai modus operandi untuk menjerat mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan: