Lima bulan keluar penjara, Ketua Geng Kavi dicekup curi kabel

Peralatan yang digunakan suspek termasuk jaket keselamatan dan kabel yang disyaki hasil kegiatan curi.
Peralatan yang digunakan suspek termasuk jaket keselamatan dan kabel yang disyaki hasil kegiatan curi.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Baharu lima bulan keluar penjara, seorang lelaki ditahan semula bersama lima rakan lain yang dikenali sebagai Geng Kavi kerana disyaki mencuri kabel.

Suspek utama berusia 38 tahun itu dikesan mengetuai kumpulan yang dipercayai aktif melakukan jenayah terbabit sekitar daerah Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, satu serbuan menerusi Ops Pintu/Usil dijalankan pada 11 Disember lalu di Pekan Lama Sungai Petani, sekali gus menumpaskan kegiatan geng terbabit yang dianggotai enam lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun.

“Hasil risikan dan tindakan susulan melalui operasi yang dijalankan sepanjang Disember ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan mencuri kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan sama, pihak polis turut merampas peralatan dan perkakas yang digunakan untuk memecah dan memotong kabel sebelum dipercayai dijual ke tapak pelupusan.

Dalam serbuan terbabit, polis merampas lapan gulung kabel KTMB di dalam kenderaan yang digunakan suspek dengan nilai dianggarkan RM10,000.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan jaket keselamatan dan menunggang motosikal kononnya sedang memantau lokasi semasa melakukan jenayah. Mereka juga menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Wira bagi memudahkan pergerakan serta menyimpan peralatan dan barangan curi termasuk kapak, tukul besi, mesin pengisar, pemotong dan gergaji besi.

“Sasaran utama kumpulan ini adalah merosakkan pagar KTMB, memasuki kawasan landasan kereta api dan seterusnya mencuri kabel di dalam lubang bawah tanah,” katanya.

Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk suspek utama yang memiliki 12 rekod jenayah dan 18 rekod berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ringkasan AI

  • Lelaki baru keluar penjara lima bulan ditahan semula bersama lima rakan Geng Kavi kerana mencuri kabel
  • Suspek utama 38 tahun mengetuai kumpulan aktif di Daerah Kuala Muda
  • Serbuan Ops Pintu/Usil di Sungai Petani menumpaskan geng enam lelaki umur 27-51 tahun
  • Polis rampas lapan gulung kabel KTMB bernilai RM10,000 dalam serbuan
  • Kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau, termasuk 12 rekod jenayah dan 18 rekod berkaitan dadah suspek utama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!