Op Mabuk: Enam lelaki ditahan, 10 saman dikeluarkan

KLUANG – Polis menahan enam lelaki tempatan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Mabuk yang dijalankan sekitar bandar Kluang dan Simpang Renggam selama tiga hari bermula Jumaat
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, operasi itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Menurutnya, enam lelaki berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan sepanjang tempoh operasi berkenaan.

“Dua daripada mereka ditangkap di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, empat lagi lelaki ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan).
“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun jika disabitkan,” jelasnya.
Menurut Bahrin, semua suspek direman selama dua hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 25 individu bersama 31 buah kenderaan diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
Katanya, sebanyak 10 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan trafik boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222, talian terus 07-7784256, hotline 07-7766822 atau Tablet DCC 014-3656822.
Ringkasan AI
- Polis menahan enam lelaki tempatan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Mabuk di Kluang dan Simpang Renggam
- Enam lelaki berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan
- Dua lelaki ditangkap kerana memandu secara melulu dan berbahaya dengan hukuman penjara sehingga lima tahun
- Empat lelaki ditahan atas kesalahan memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan
- Sebanyak 10 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik semasa operasi tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

