Lelaki ditahan 'hentak' pelajar madrasah guna topi keledar

KOTA KINABALU - Seorang lelaki ditahan untuk membantu siasatan susulan tular satu video yang memaparkan kejadian sehingga menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan penderaan melibatkan pelajar madrasah di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya telah menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut yang tular menerusi rakaman video di media sosial.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.55 malam pada Ahad, di sebuah premis perniagaan di Kota Kinabalu, yang melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa.
"Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kasim berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi semua pihak terlibat.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 4 minit 51 saat yang menunjukkan seorang lelaki memukul sekumpulan remaja lelaki menggunakan topi keledar di kawasan kedai.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditahan untuk membantu siasatan kejadian penderaan pelajar madrasah di Kota Kinabalu
- Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu menerima laporan polis tentang video penderaan yang tular di media sosial
- Kejadian berlaku di premis perniagaan di Kota Kinabalu melibatkan sekumpulan pelajar madrasah dan seorang lelaki dewasa
- Tangkapan dibuat terhadap lelaki tempatan berusia lewat 30-an
- Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
