Sukan SEA: Harimau Muda gagal ke final, fokus beralih kepada gangsa

Pemain Malaysia, Mohd Haizon Muhammad Haykal Danish diasak pertahanan pasukan tuan rumah Thailand pada perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala pada Isnin. Foto Bernama
Pemain Malaysia, Mohd Haizon Muhammad Haykal Danish diasak pertahanan pasukan tuan rumah Thailand pada perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan gagal menempah tempat dalam final bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 selepas tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional Rajamangala, di sini malam Isnin.

Thailand membuka jaringan awal pada minit kelapan apabila sepakan percuma Yotsakon Burapha dari luar kotak penalti tepat ke bucu kiri gawang, menewaskan penjaga gol negara Sharani Zulhilmi.

Malaysia cuba bangkit dengan beberapa percubaan termasuk tandukan kencang Danish Hakimi Sahaludin pada minit ke-13, tetapi berjaya ditampan penjaga gol Thailand Phosaman Sorawat.

Cabaran skuad Harimau Muda bertambah getir apabila pertahanan kanan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil diarah keluar padang pada minit ke-16 selepas menerima kad kuning kedua, meninggalkan pasukan beraksi dengan 10 pemain sepanjang baki perlawanan.

 Pemain Malaysia, Muhammad Nabil Muhammad Aiman Yusuf (dua, kanan) dilayangkan kad kuning ketika menentang pasukan tuan rumah pada perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala pada Isnin. Foto Bernama
Pemain Malaysia, Muhammad Nabil Muhammad Aiman Yusuf (dua, kanan) dilayangkan kad kuning ketika menentang pasukan tuan rumah pada perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala pada Isnin. Foto Bernama

Beberapa percubaan lain gagal diterjemahkan kepada jaringan termasuk sepakan percuma Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon pada minit ke-29 dan percubaan solo Muhamad Faris Danish Mohd Asrul (minit ke-33).

Bersambung pada babak kedua, anak buah Mohd Nafuzi Zain menggandakan intensiti permainan dan berjaya mengancam kubu lawan menerusi percubaan Muhammad Haykal Danish pada minit ke-48 dan Muhammad Haqimi Azim Rosli (minit ke-62).

Thailand hampir menggandakan jaringan pada minit ke-70 melalui sepakan leret Yotsakon Burapha dan rembatan deras Thanakrit Chotmuangpak pada minit ke-76, memaksa Sharani bekerja keras di gawang.

Artikel Berkaitan:

Pada penghujung permainan, skuad negara hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-90 apabila percubaan pemain gantian Haiqal Hashim Rohisham sedikit tersasar ke kanan gawang sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia akan membuat perhitungan dengan Filipina dalam perlawanan penentuan gangsa di sini, Khamis ini.

Filipina tewas 0-2 kepada Vietnam dalam satu lagi aksi separuh akhir pada sebelah petang.

Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan semasa edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa dalam edisi 2021 di Hanoi.

Kali terakhir skuad kebangsaan menamatkan saingan di podium adalah apabila mereka memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Skuad B-23 kebangsaan gagal menempah tempat dalam final bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 selepas tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah
  • Thailand membuka jaringan awal pada minit kelapan melalui sepakan percuma Yotsakon Burapha
  • Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil diarah keluar padang pada minit ke-16 selepas menerima kad kuning kedua
  • Anak buah Mohd Nafuzi Zain meningkatkan intensiti permainan pada babak kedua namun gagal menjaringkan gol
  • Malaysia akan bertemu dengan Filipina dalam perlawanan penentuan gangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!