X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Bandar Kota Bharu lengang

Gambar dari udara menunjukkan laluan sekitar KB Mall, menghala ke tengah-tengah bandar lengang dan hanya terdapat beberapa kenderaan berada di jalan raya. - Foto ihsan Wadid Wajdi Mohd Labib
A
A

KOTA BHARU - Keadaan sekitar bandar Kota Bharu kelihatan lengang pada hari kedua dan ketiga selepas arahan penutupan semua laluan masuk ke bandar ini dikuatkuasakan Polis Kelantan bermula kelmarin bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Kelmarin, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan memaklumkan tindakan tersebut dibuat memandangkan masih terdapat rakyat di negeri ini berdegil keluar rumah tanpa urusan penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Sinar Harian bermula ‪jam 10‬ pagi tadi di beberapa laluan masuk ke bandar ini iaitu di Pasir Pekan, Jalan Tunjong, Jalan Sultan Yahya Petra dan Jalan Kuala Krai mendapati laluan trafik agak tenang berbanding sebelumnya.

Cuma masih terdapat sejumlah kecil kenderaan persendirian dan penghantaran barangan keperluan di jalan raya selain rondaan daripada pihak berkuasa.

Keadaan ini memperlihatkan peratusan rakyat negeri ini yang masih ingkar arahan PKP sudah berkurangan.

Untuk keselamatan bersama, polis dan Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas di beberapa lokasi juga mengarahkan mereka yang tidak mempunyai alasan kukuh untuk berpatah balik ke rumah.

Bagi melancarkan laluan dan mengetatkan kawalan, turut didapati laluan dari Tumpat ke Kota Bharu dibahagikan kepada tiga lorong iaitu supaya tidak ada siapa yang ‘sengaja’ mahu ke bandar ‘terlepas’ dengan mudah.

Lalu lintas dari Pasir Pekan melalui Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan penduduk Tumpat ke Kota Bharu juga kelihatan tenang. - Foto ihsan Wadid Wajdi Mohd Labib
Lalu lintas dari Pasir Pekan melalui Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan penduduk Tumpat ke Kota Bharu juga kelihatan tenang. - Foto ihsan Wadid Wajdi Mohd Labib

Tinjauan menggunakan dron di beberapa kawasan juga mendapati pasar raya dan pasar awam di bandar ini masih menjadi tumpuan untuk orang ramai membeli-belah berikutan tempoh pengumuman PKP dua hari lalu telah dilanjutkan sehingga ‪14 April‬.

Biarpun jumlah pengunjung di sebuah pasar awam di sini tidak sesak sebagaimana sebelum ini, namun didapati masih ada pengunjung yang tidak menjaga jarak sosial.

Masih juga ada yang tidak memakai penutup muka dengan alasan sukar untuk mendapatkan bekalan, selain mereka berasa agak selamat kerana pengunjung tidak berhimpit-himpit seperti hari kebiasaannya.

Berdasarkan portal Covid-19 Malaysia sehingga jam 5.35 petang semalam, terdapat 108 kes direkodkan di Kelantan dengan dua kematian.

Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, Mohd Hafizi Alias, 30, berkata, dia menyambut baik langkah Polis Kelantan menutup laluan utama masuk ke bandar ini memandangkan jumlah kes Covid-19 di negeri ini semakin bertambah.

“Memang betullah, jika dibandingkan di awal PKP lalu, saya melihat keadaan sekitar bandar Kota Bharu agak tenang sedikit. Mungkin mereka baru sedar mengapa polis dan pihak berkuasa bertindak semakin mengetatkan kawalan.

“Lebih baik berada di rumah kalau tidak ada perkara terlalu penting untuk dibuat. Kita perlu memberikan kerjasama kepada kerajaan kerana wabak ini tidak mengenal mangsa. Lebih baik lepak di rumah daripada terkurung sebagai pesakit Covid-19 di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan harga barang basah di pasar awam tertentu mendapati tiada kenaikan mendadak.

Sebagai contoh, sawi masih dijual dengan harga RM1 seikat begitu juga dengan timun RM2 satu kilogram.

Seorang pengunjung Kamariah Ismail, 61, berkata, sejak dari hari pertama PKP dijalankan harga sayuran yang dibeli di RTC Tunjong masih rendah dan jika ada kenaikan pun sekitar RM0.30 sen sahaja untuk barangan tertentu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!