Lelaki didakwa pandu berbahaya, sebabkan kematian suami isteri

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri maut dalam kemalangan, manakala anak mereka yang memandu kereta Proton Saga parah di kepala.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri maut dalam kemalangan, manakala anak mereka yang memandu kereta Proton Saga parah di kepala.
A
A
A

BENTONG - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri pada minggu lepas.

Lee Kang Foong, 40, didakwa memandu kereta jenis Mercedes-Benz dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Karmilawati Muhamad Ya'akob dan Mohammad Nazri Md Salleh, masing-masing berusia 51 tahun, di KM3 Jalan Bentong-Gombak, di sini pada 8.15 malam, 10 Disember lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Adawiah Abdul Wahab menawarkan jaminan RM10,000, bagaimanapun peguam Young Hiang Siong merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang mengalami pelbagai masalah kesihatan turut menjaga ibu bapanya.

Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar menetapkan jaminan RM8,000 dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung serta sebutan semula kes pada 23 Februari tahun depan.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri maut dalam kemalangan, manakala anak mereka yang memandu kereta Proton Saga parah di kepala. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lee Kang Foong mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu berbahaya yang menyebabkan kematian sepasang suami isteri
  • Pertuduhan itu berkaitan dengan kemalangan di KM3 Jalan Bentong-Gombak yang mengakibatkan kematian Karmilawati Muhamad Ya'akob dan Mohammad Nazri Md Salleh
  • Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000
  • Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM10,000 namun dikurangkan menjadi RM8,000 atas rayuan peguam
  • Majistret menetapkan jaminan dan menyuspen lisens memandu Lee serta menangguhkan kes hingga 23 Februari tahun depan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!