Tiga selamat, 3 lagi terperangkap dalam insiden bot terdampar di Pantai Batu Rakit

KUALA NERUS - Tiga kru bot warga Indonesia terselamat manakala tiga lagi masih terperangkap di dalam bot tunda yang terdampar di sekitar kawasan pembinaan benteng pemecah ombak di Pantai Batu Rakit, di sini petang ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, berdasarkan maklumat awal, enam kru bot termasuk kapten telah berlepas dari Pelabuhan X One di Songkhla, Thailand menuju ke Punggol, Singapura Rabu lepas.
Beliau berkata, bagaimanapun sekitar jam 1 tengah hari tadi, bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan dan dihanyutkan ombak ke Pantai Batu Rakit, dekat Kampung Tanjung di sini.
"Polis menerima laporan pada 4.30 petang tadi daripada orang awam. Setiba di lokasi, kita dapati terdapat sebuah bot tunda terdampar di pesisir pantai berkenaan.
"Tiga kru berjaya diselamatkan orang awam manakala tiga lagi terperangkap di atas bot. Usaha mengeluarkan mangsa masih dijalankan oleh polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata usaha menyelamat mangsa agak sukar dan mengambil masa berikutan cuaca buruk serta ombak kuat yang melanda sejak malam tadi.
Beliau berkata, polis telah memasang tali garisan kuning bagi mengelak orang awam memasuki lokasi.
"Setakat ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Tiga kru yang diselamatkan berada di bawah pemantauan pasukan perubatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Tiga kru bot warga Indonesia terselamat manakala tiga lagi masih terperangkap dalam bot tunda di Pantai Batu Rakit
- Enam kru bot berlepas dari Pelabuhan X One di Songkhla, Thailand menuju ke Punggol, Singapura
- Bot mengalami kerosakan dan dihanyutkan ombak ke Pantai Batu Rakit
- Usaha menyelamatkan mangsa masih dijalankan oleh polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
- Tidak ada kehilangan nyawa dilaporkan, tiga kru yang diselamatkan berada di bawah pemantauan pasukan perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
