Peminat mengamuk di acara Messi, lempar kerusi dan botol

ACARA yang sepatutnya menjadi sambutan megah kehadiran Lionel Messi ke India bertukar menjadi kekecohan apabila ribuan peminat yang hadir di Stadium Salt Lake, Kolkata, bertindak melempar kerusi dan botol ke arah padang selepas kecewa dengan penampilan singkat bintang bola sepak Argentina itu.
Peminat yang membayar sehingga ₹18,000 (RM814) untuk menyaksikan Messi secara langsung berang apabila beliau hanya muncul selama kira-kira 20 minit sebelum diiring keluar oleh pasukan keselamatan.
Kehadiran Messi yang dinanti-nantikan dalam siri jelajah “GOAT Tour” itu dilindungi oleh barisan pegawai dan selebriti, menyebabkan ramai peminat tidak dapat melihatnya dengan jelas.
Menurut laporan media tempatan, sejurus selepas Messi meninggalkan stadium, sebahagian penonton mula bertindak agresif dengan merosakkan tempat duduk, melempar botol dan cuba memecahkan pagar pemisah antara tempat duduk.
Keadaan menjadi tidak terkawal sehingga memaksa campur tangan pihak keselamatan.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, menyatakan rasa terkejut dan kecewa terhadap insiden tersebut, menyifatkannya sebagai “amat mendukacitakan”.
Beliau turut menggesa siasatan penuh dijalankan terhadap penganjur acara.
Messi dijadualkan menghadiri beberapa acara promosi di Kolkata, Hyderabad, Mumbai dan Delhi.
Lawatan beliau ke Kolkata turut menyaksikan pelancaran patung setinggi 70 kaki yang dibina khas sebagai penghormatan kepada ikon bola sepak berusia 38 tahun itu.
Namun, atas faktor keselamatan, Messi hanya membuat kemunculan secara maya semasa pelancaran patung tersebut. - Awani
Ringkasan AI
- ACARA sambutan Lionel Messi ke India bertukar menjadi kekecohan apabila peminat bertindak melempar kerusi dan botol di Stadium Salt Lake, Kolkata
- Peminat berang dengan penampilan singkat Messi yang hanya muncul selama kira-kira 20 minit
- Messi dilindungi oleh barisan pegawai dan selebriti, menyebabkan ramai peminat tidak dapat melihatnya dengan jelas
- Sebahagian penonton bertindak agresif dengan merosakkan tempat duduk dan cuba memecahkan pagar pemisah setelah Messi meninggalkan stadium
- Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, menyatakan rasa kecewa dan menggesa siasatan penuh dijalankan terhadap penganjur acara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
