AOT pantau situasi di lapangan sempadan Thailand-Kemboja - PM

SHAH ALAM – Pasukan pemerhati ASEAN (AOT) telah ditugaskan memantau situasi di lapangan sempadan Thailand-Kemboja bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misi pasukan pemerhati diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
"Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 16 Disember.
"Laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Anwar menambah, Thailand dan Kemboja digesa menghentikan segala bentuk permusuhan dan tindakan ketenteraan berkuat kuasa pada jam 10 malam, 13 Disember, Sabtu.
"Susulan perbincangan saya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan mengambil kira ketegangan berterusan di sempadan Kemboja–Thailand, saya telah mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
"Dalam perbincangan tersebut, saya menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan, dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut,” ujarnya.
Anwar memberitahu, gesaan itu dibuat supaya tiada sebarang tindakan ketenteraan lanjut termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan berkuat kuasa jam 10 malam.
Menurut beliau, Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama.
Ringkasan AI
- Pasukan pemerhati ASEAN (AOT) ditugaskan memantau sempadan Thailand-Kemboja
- Pemantauan dilakukan dengan sokongan satelit dari Amerika Syarikat
- Hasil pemantauan akan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN
- Thailand dan Kemboja digesa menghentikan segala bentuk permusuhan dan tindakan ketenteraan
- Malaysia komited kepada kerjasama ASEAN dan diplomasi untuk keamanan serantau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

