Proses air ketum di rumah, simpan dalam tangki

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Sebuah rumah dan stor di Felda Ulu Jempol, Bandar Pusat Jengka diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Khamis lalu kerana disyaki dijadikan tempat memproses dan mengedar air ketum.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan Ops Taring Mitra kira-kira jam 7.30 petang itu, empat lelaki berusia 35 hingga 47 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas dua premis berkenaan, PGA Batalion 7 menemui dan merampas 1,050 botol air ketum yang siap diproses dan sedia untuk diedarkan.
"Air ketum dianggarkan 1,575 liter itu ditemui disimpan dalam beberapa tong dan tangki air dalam rumah dan stor di belakang rumah suspek.
"Turut dirampas beberapa peralatan seperti tangki air, tong plastik dan telefon bimbit milik suspek dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan lebih RM68,000," katanya.
Ahmad Radzi berkata, hasil semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau.
"Bagaimanapun, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati kesemua mereka negatif sebarang jenis dadah.
"Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," ujarnya.
Ringkasan AI
- KUANTAN - Sebuah rumah dan stor di Felda Ulu Jempol, Bandar Pusat Jengka diserbu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) karena disyaki menjadi tempat memproses dan mengedar air ketum
- Dalam serbuan Ops Taring Mitra, empat lelaki berusia 35 hingga 47 tahun ditahan untuk siasatan lanjut
- PGA Batalion 7 menemui dan merampas 1,050 botol air ketum yang siap diproses dan sedia untuk diedarkan
- Air ketum ditemui disimpan dalam beberapa tong dan tangki air dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan lebih RM68,000
- Dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau tetapi ujian saringan menunjukkan semua suspek negatif dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

