Muhyiddin nafi tuduhan simpan wang parti di rumah

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video yang tular mendakwa beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ia merupakan satu tuduhan liar berbentuk sangkaan yang langsung tidak berasas dan tidak pernah berlaku sepanjang penglibatannya dalam kepimpinan serta pengurusan parti.

"Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.

"Dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Pada pagi Jumaat, satu klip berdurasi dua minit tular di WhatsApp yang memaparkan Dr Mahathir didakwa menuduh Muhyiddin mencuri wang parti ketika pertemuan Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor bersama bekas Ahli Parlimen Langkawi itu di Putrajaya pada awal minggu ini.

Video tersebut turut disertakan kapsyen yang mendakwa Dr Mahathir membongkar kononnya Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri kerana takut dipenjarakan.

Dalam rakaman itu, Dr Mahathir kedengaran berkata seseorang 'ada masalah' dan 'mahu jadi Perdana Menteri bukan untuk berkhidmat' tetapi kerana bimbang masuk penjara.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, sebagai seorang negarawan, sepatutnya Dr Mahathir mendapatkan penjelasan daripada beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadapnya.

"Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya. Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun saya tetap menghormati Dr Mahathir sebagai orang tua. Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab," ujarnya.

Justeru, kata Muhyyidin beliau tidak berhasrat untuk mengheret Dr Mahathir ke mahkamah berhubung isu tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan mencuri wang parti
  • Tuduhan itu disebut sebagai sangkaan liar dan tidak berdasar
  • Muhyiddin menyatakan semua sumbangan dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus
  • Klip video yang tular memaparkan Dr Mahathir menuduh Muhyiddin semasa pertemuan di Putrajaya
  • Muhyiddin menegaskan hubungannya dengan Dr Mahathir tetap akrab dan tidak berhasrat mengheretnya ke mahkamah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!