Wanita dakwa abang 'dimadukan', kakak ipar miliki dua suami sejak setahun

TANAH MERAH - Tindakan seorang wanita berkahwin dengan lelaki lain ketika masih bergelar isteri terbongkar selepas perkara tersebut diketahui oleh keluarga mentuanya.
Rahsia yang disimpan selama setahun itu pecah selepas berjaya dihidu oleh adik iparnya yang ingin dikenali sebagai Nur pada 6 Disember lalu.
Ia terbongkar selepas Nur memeriksa rumah suami kedua kakak iparnya itu di sebuah taman di Batu 11 di sini bersama anggota polis dan penduduk setempat bagi mengesahkan perkara tersebut.
"Sebaik sahaja tiba, saya terkejut melihat seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam rumah tersebut. Saya kemudian telah meminta lelaki berkenaan untuk menunjukkan sijil nikah sebelum memanggil isterinya (kakak ipar) keluar.
"Sebaik sahaja wanita itu keluar, saya terkejut mendapati lelaki tersebut memberitahu kakak ipar adalah isterinya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut dia lagi, lelaki yang berasal dari Johor itu mendakwa sudah bernikah dengan kakak ipar sejak setahun lalu.
Katanya, dia memberitahu sudah bernikah dengan kakak ipar pada 5 November tahun lalu di Pejabat Agama Wilayah Songkhla, Thailand.
Tambah Nur, selepas itu dia terus menghubungi abangnya dan memaklumkan perkara tersebut.
Dia berkata, abangnya dan kakak ipar tidak pernah bercerai dan mereka berdua kelihatan cukup bahagia seperti pasangan lain.
Menurut Nur, kakak iparnya itu sanggup ke rumah suami baharu setiap kali abang keluar bekerja.
"Waktu siang dia berada di rumah suami kedua manakala malam bersama abang. Jarak rumah abang saya dengan lelaki yang didakwa sebagai suami kedua kakak ipar itu hanyalah 19 kilometer sahaja.
"Jika perkara ini tidak terbongkar, kami tidak tahu berapa lama akan ditipu dan kesucian agama Islam akan tercemar," katanya.
Nur memberitahu, selepas seminggu kejadian itu kakak iparnya telah membuat laporan palsu kepada polis mendakwa dia telah mengganggunya.
"Saya sudah buat laporan kepada Pejabat Agama Tanah Merah namun tiada tindakan. Jadi saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil serius perkara ini.
"Ini bukan lagi soal peribadi, ia sudah melibatkan kesucian agama Islam. Jadi bertindaklah segera mengikut peruntukan undang-undang yang ada," katanya.
Menurut dia, memburukkan lagi keadaan wanita berkenaan masih berkeras dan enggan keluar dari rumah abangnya.
Ringkasan AI
- Wanita berkahwin dengan lelaki lain ketika masih bergelar isteri terbongkar oleh keluarga mentua
- Adik ipar wanita berjaya mengesahkan wanita itu berkahwin lagi selepas memeriksa rumah suami kedua
- Wanita itu didakwa berkahwin di Pejabat Agama Wilayah Songkhla, Thailand setahun lalu
- Wanita itu menghabiskan waktu siang di rumah suami kedua manakala malam bersama suami pertama
- Kakak ipar membuat laporan palsu kepada polis setelah kejadian itu terbongkar, Nur meminta agar pihak berwajib mengambil tindakan serius
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

