X

Kindly register in order to view this article
!

Sisa kilang bahan binaan punca pencemaran Sungai Selangor

Keratan akhbar Sinar Harian berhubung kejadian itu sebelum ini.
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang bahan binaan dikenakan tindakan selepas dipercayai menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Selangor dalam kejadian yang berlaku semalam.

Menerusi satu kenyataan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, siasatan menyeluruh dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi berkaitan di kilang berkenaan mendapati terdapat sisa minyak ditemui di aliran air yang mengalir ke Sungai Selangor dengan jarak kira-kira 1 kilometer.

Katanya, tumpahan minyak itu adalah dari beberapa tong yang masing-masing berkapasiti 205 liter.

"Premis ini turut didapati tidak menjalankan penyimpanan minyak dengan baik apabila lapan tong minyak ditemui di luar kawasan stor dan dua daripadanya tidak bertutup.

"Malah terdapat kesan kebocoran pada tong tersebut sehingga menyebabkan ia mengalir ke longkang dan di bawa ke sungai," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) sebelum ini terpaksa dihentikan operasi berikutan pencemaran minyak yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor pagi semalam.

Bagaimanapun, tiga loji berkenan dilaporkan telah kembali beroperasi seperti biasa selepas tindakan segera diambil bagi menangani permasalahan itu.

Sementara itu, LUAS memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik premis berkenaan untuk tindakan pembersihan segera.

"Manakala, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan kompaun bagi kesalahan-kesalahan melibatkan pengurusan bahan terjadual," katanya.

Dalam pada itu, LUAS berkata, pihaknya turut memasang 'oil boom' di kawasan alur terlibat bagi mengawal baki aliran minyak dari masuk ke Sungai Selangor.

Tambahnya, pemantauan rapi oleh LUAS bersama agensi berkaitan akan dilakukan bagi memastikan tiada sebarang loji dihenti tugas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang tindakan tidak bertanggugjawab boleh berkongsikan dengan kami selepas ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus