Dua ahli sindiket ditahan, dadah lebih RM100,000 dirampas

KEPALA BATAS – Taktik sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah sebagai lokasi transaksi tidak berjaya apabila polis menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Penaga pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, polis turut merampas heroin dan syabu bernilai lebih RM181,137.
Menurutnya, dalam serbuan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ketika berada di tepi Jalan Permatang Berah.
"Pemeriksaan ke atas kereta yang dipandunya menemui 1,803.3 gram dadah disyaki heroin bernilai RM17,300.
"Susulan itu, polis menyerbu sebuah premis di Padang Tembusu, Penaga dan menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, serbuan kedua itu berjaya merampas 5,119.9 gram syabu dengan nilai anggaran RM163,837, selain menyita sebuah motosikal Yamaha NVX bernilai RM12,000.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan orang suruhan kepada seorang ketua sindiket yang aktif mengedar dadah di kawasan tersebut.
“Usaha mengesan suspek utama sedang dipergiatkan dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan, pengedaran atau pemprosesan dadah,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
"Semakan rekod pula menunjukkan suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.
"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 11 hingga 17 Disember bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan," ujarnya.
Tambah beliau, kesemua dadah berkenaan adalah untuk pasaran tempatan.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah SPU atau balai polis berhampiran.
Ringkasan AI
- Polis menahan dua lelaki dalam serbuan dadah di Penaga
- Sindiket pengedaran dadah guna rumah sebagai lokasi transaksi
- Rampasan dadah termasuk heroin dan syabu bernilai lebih RM181,137
- Suspek bekaitan ketua sindiket aktif mengedar dadah di kawasan tersebut
- Kedua-dua suspek positif methamphetamine, dihadapkan dengan hukuman gantung atau penjara seumur hidup dan sebatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

