Kontroversi karya ciplak: Penganjur tarik balik anugerah, batalkan kemenangan penerbit

SHAH ALAM – Penulis terkenal, Sri Diah Shahruddin berkongsi di Facebook surat notis penarikan balik Anugerah Buku Negara oleh Yayasan Buku Negara susulan dakwaan berlaku unsur plagiat terhadap karya yang dipertandingkan.
Surat rasmi yang dikeluarkan sekretariat pertandingan itu memaklumkan bahawa keputusan muktamadnya selaku penganjur untuk membatalkan kemenangan penerbit Casamas Resources Sdn Bhd selepas karya itu menjadi pertikaian umum dan mendapat bantahan keluarga Allahyarham Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E.
Menurut Sri Diah, keputusan itu memberi kelegaan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga Allahyarham yang sejak awal memperjuangkan hak penulis sebenar karya tersebut.
Beliau berkata, perjuangan itu bukan semata-mata mempertahankan sebuah naskhah, tetapi usaha membela integriti seorang penulis yang sudah kembali ke rahmatullah.
Tegasnya, isu plagiat bukan perkara kecil kerana ia merampas hasil usaha, masa dan ilham yang dicurahkan oleh penulis asal.
“Kes ini tamat di sini. Semoga perkara begini tidak berulang lagi untuk tahun-tahun mendatang,” tulisnya.
Menurutnya, ‘ilham’ adalah anugerah mahal daripada ALLAH dan setiap karya memerlukan olahan idea, penelitian serta disiplin tinggi sebelum dapat diterjemahkan menjadi bahan bacaan.
“Atas sebab itulah orang marah apabila karya mereka diciplak... payahnya mahu menulis tentang kisah kehidupan yang baik. Bukan mudah menghasilkan karya,” jelasnya lagi.
Sri Diah memberitahu, walaupun Allahyarham Cikgu E sudah tiada, namun rakan-rakan seangkatan tetap meneruskan perjuangan menuntut keadilan bagi pihaknya.
Katanya, pengiktirafan yang ditarik balik itu membuktikan bahawa ketekunan menuntut hak bukan sesuatu yang sia-sia.
Beliau turut menyifatkan keputusan penganjur itu sebagai kemenangan moral buat komuniti penulis yang sentiasa menentang budaya ciplak.
“Alhamdulillah, kejayaan besar buat sahabat kami. Ia mengembalikan maruah karya itu ke tempat yang sewajarnya,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Sri Diah berkongsi di Facebook surat notis penarikan balik Anugerah Buku Negara oleh Yayasan Buku Negara susulan dakwaan plagiat
- Surat rasmi memaklumkan pembatalan kemenangan Casamas Resources Sdn Bhd akibat dakwaan plagiat
- Keputusan pembatalan anugerah memberi kelegaan kepada rakan dan keluarga Allahyarham Nassry Mardee Ismail
- Sri Diah menegaskan isu plagiat adalah serius kerana ia merampas hasil usaha dan ilham penulis asal
- Pengiktirafan yang ditarik balik membuktikan ketekunan menuntut hak adalah penting
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

