Gelap mata mahu untung cepat, pengusaha restoran rugi RM783,000

JERANTUT – Seorang pengusaha restoran kerugian RM783,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan melalui media sosial.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, lelaki berusia 30 tahun dikatakan terpengaruh dengan iklan pelaburan saham dikenali sebagai Nexispeak Global yang ditemui pada 17 September lalu.
Menurutnya, suspek kemudian menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan memperkenalkan diri sebagai ‘Christy’.
"Seterusnya menawarkan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan harian antara RM550 hingga RM600 dengan kadar keuntungan sehingga 85 peratus.
“Mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi dinamakan WHG Roup kononnya bagi memantau transaksi dan perkembangan pelaburan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau memaklumkan, mangsa telah melakukan sebanyak 23 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza, antara 20 Oktober hingga 7 Disember lalu.
Jelasnya, namun selepas bayaran dibuat, mangsa gagal mengeluarkan wang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan atas alasan bayaran tambahan.
"Mangsa kemudian menyedari dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.
"Sumber kewangan mangsa adalah melibatkan wang simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga, hasil jualan barang kemas serta lebihan bayaran dua buah rumah," katanya.
Sehubungan itu, Azry Akmar menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
Tegasnya, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
"Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pengusaha restoran kerugian RM783,000 akibat terperdaya skim pelaburan saham palsu di media sosial
- Iklan pelaburan palsu Nexispeak Global menjanjikan pulangan harian RM550 hingga RM600 dengan keuntungan sehingga 85%
- Mangsa dihubungi melalui WhatsApp oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Christy'
- Melakukan 23 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza tanpa keupayaan mengeluarkan keuntungan
- Sumber kewangan mangsa merangkumi simpanan peribadi, pinjaman keluarga, dan hasil jualan barang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

