10 ejen pemungut dilantik JPJ sejak 2016

Datuk Aedy Fadly Ramli
Datuk Aedy Fadly Ramli
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melantik 10 ejen pemungut sejak pelantikan itu dilaksanakan pada tahun 2016, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Menurutnya, kenyataan yang menggambarkan pelantikan ejen pemungut sebagai penswastaan perkhidmatan JPJ adalah berpunca daripada salah faham berkenaan fungsi ejen pemungut JPJ.

"Ejen-ejen pemungut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan Pejabat JPJ yang sedang dan akan terus dikendalikan oleh JPJ.

"Sebaliknya, pelantikan ejen-ejen pemungut JPJ membenarkan perkhidmatan JPJ untuk ditawarkan di saluran tambahan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sebagai contoh, apabila sesebuah platform insuran kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ini membolehkan platform tersebut untuk turut menawarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila pelanggan membeli insuran kenderaan.

Namun, jelas Aedy, pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di pejabat JPJ.

"Untuk makluman, antara syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai ejen pemungut sebelum ini termasuk POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn Bhd, MyEG Services Sdn Bhd, Konsortium Multimedia Swasta Sdn Bhd, TCSENS Sdn Bhd serta TNG Sdn Bhd," ujarnya.

Kata beliau, pelantikan ejen pemungut ini juga tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.

"Mana-mana syarikat yang berkelayakan dan ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada JPJ.

Artikel Berkaitan:

"Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang telah dilaksanakan sekian lama," ujarnya.

Tambahnya, JPJ kekal komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pengawalseliaan berterusan ke atas semua ejen pemungut yang dilantik.

"JPJ juga akan terus memastikan integriti data, keselamatan transaksi serta tahap pengalaman pengguna berada di tahap optimum selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan digital sektor awam," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Pemuda UMNO mempersoalkan pelantikan sebuah syarikat sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata, apa rasional lantikan ejen luar sedangkan urusan kutipan melalui aplikasi JPJ selama ini didakwanya diuruskan sendiri oleh jabatan berkenaan.

 

 

Ringkasan AI

  • JPJ telah melantik 10 ejen pemungut sejak tahun 2016
  • Pelantikan ejen pemungut bukan bermaksud penswastaan perkhidmatan JPJ
  • Ejen pemungut membolehkan penyediaan perkhidmatan JPJ di saluran tambahan, bukan melalui aplikasi atau pejabat JPJ
  • Antara syarikat yang dilantik sebagai ejen pemungut termasuk POS Malaysia Berhad dan MyEG Services Sdn Bhd
  • JPJ tetap mengawal selia ejen pemungut untuk memastikan integriti data dan keselamatan transaksi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!