Pemandu ambulans maut, tiga cedera nahas di Lebuhraya PLUS

Sebuah ambulans terbabas dan meragut nyawa pemandunya pada Selasa. Foto: JBPM
Sebuah ambulans terbabas dan meragut nyawa pemandunya pada Selasa. Foto: JBPM
A
A
A

KLUANG - Seorang pemandu ambulans maut manakala tiga wanita cedera selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Renggam kira-kira jam 1.10 tengah hari pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Renggam, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), M Nasir A Shah berkata, sebuah jentera FRT bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari ambulans yang terlibat nahas pada Selasa. Foto: JBPM
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari ambulans yang terlibat nahas pada Selasa. Foto: JBPM

"Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) di lokasi, didapati kemalangan melibatkan ambulans yang terbabas. Insiden tersebut melibatkan empat mangsa iaitu seorang pemandu lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.

"Hasil pemantauan mendapati pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa yang berada di ruangan belakang tidak tersepit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, PKO bertindak segera mengalihkan mangsa-mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.

Pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans yang terbabas dan terbalik. Foto: JBPM
Pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans yang terbabas dan terbalik. Foto: JBPM

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dikenali sebagai Nurazrein Zainal, 43,  merupakan Pembantu Khidmat Am Gred H1, Hospital Segamat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi tersebut tamat jam 2.24 petang," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan lanjut.

"Maklumat lanjut akan maklum kemudian," katanya ringkas ketika dihubungi.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu ambulans maut dan tiga wanita cedera selepas ambulans terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan
  • Insiden berlaku kira-kira jam 1.10 tengah hari, Selasa dekat Renggam
  • Kemalangan itu melibatkan seorang pemandu lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita
  • Pemandu ambulans berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
  • Mangsa cedera dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!