Malaysia tunggu lampu hijau PBB hantar pasukan pengaman ke Gaza

MELAKA - Malaysia hanya menunggu lampu hijau daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza, Palestin bagi misi keamanan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Beliau berkata, hasrat itu sudah dipanjangkan melalui Majlis Keselamatan PBB dan kini hanya menunggu mandat rasmi sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
"Kita memang sentiasa bersedia menghantar pasukan pengaman bagi tugasan antarabangsa malah menyediakan satu batalion bagi misi sedemikian.
"Untuk menghantar pasukan kita ke Gaza, kita juga perlu mengambil kira persetujuan penduduk Palestin selaras dengan pendirian Malaysia yang menekankan penyelesaian komprehensif memandangkan keamanan di Palestin memerlukan pendekatan menyeluruh," katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pertanyaan-pertanyaan lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengekalkan komitmen antarabangsa, dengan 150 anggota pengaman Malaysia Batalion (Malbatt) 850-12 kini bertugas di Lubnan dan dijangka berakhir pada akhir 2026.
"Pasukan kita sentiasa bersedia untuk digerakkan ke mana-mana lokasi yang memerlukan misi keamanan antarabangsa," katanya.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, Angkatan Tentera Malaysia masih menunggu arahan rasmi daripada PBB berhubung misi pengaman ke Gaza.
Mohd Nizam berkata, pihaknya telah berada pada tahap kesiapsiagaan untuk diaturgerakkan ke sana bagi melaksanakan misi itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia menunggu lampu hijau PBB untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza
- Hasrat Malaysia sudah dipanjangkan melalui Majlis Keselamatan PBB, kini menunggu mandat rasmi
- Malaysia bersedia menghantar batalion untuk tugasan antarabangsa dan menekankan penyelesaian komprehensif bagi keamanan di Palestin
- 150 anggota pengaman Malaysia kini bertugas di Lubnan, misi berakhir pada akhir 2026
- Angkatan Tentera Malaysia berada pada tahap kesiapsiagaan menunggu arahan rasmi PBB untuk misi pengaman ke Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
