'Kami lebih baik berbanding musim lalu' - Amorim

Amorim menyifatkan skuad kendaliannya kini berada pada tahap yang jauh lebih baik berbanding musim lalu.
Amorim menyifatkan skuad kendaliannya kini berada pada tahap yang jauh lebih baik berbanding musim lalu.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan skuad kendaliannya kini berada pada tahap yang jauh lebih baik berbanding musim lalu selepas membelasah Wolverhampton Wanderers 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Molineux pada Selasa.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan United melonjak ke tangga keenam liga hasil dua jaringan kapten Bruno Fernandes serta gol daripada Bryan Mbeumo dan Mason Mount.

Menurut Amorim, peningkatan ketara dapat dilihat menerusi kemampuan pasukan mencipta peluang dan jaringan iaitu satu elemen yang kurang menyerlah pada kempen terdahulu.

"Saya fikir kami bertambah baik jika dibandingkan dengan musim lalu.

"Musim ini kami mencipta lebih banyak peluang, meledak lebih banyak gol dan menghadirkan situasi bahaya yang sebenar. Saya sangat gembira dengan perkembangan itu.

"Sejak minit pertama, saya rasa jika gol tidak hadir awal sekalipun, kami tetap akan memenangi perlawanan ini. Saya sangat menikmati cara kami bermain pada babak kedua," katanya.

Biarpun merekodkan 27 percubaan secara keseluruhan iaitu jumlah tertinggi dalam satu perlawanan di bawah kendaliannya setakat ini, pengendali dari Portugal itu enggan mendabik dada dan mengakui ketajaman penyudah pasukannya masih boleh diperbaiki.

Tegasnya, jumlah empat gol tersebut sepatutnya boleh menjadi lebih tinggi berdasarkan dominasi yang dipamerkan.

"Kami menjaringkan empat gol, tetapi kami melakukan banyak percubaan, jadi saya tidak boleh mengaitkannya dengan kami sudah menjadi lebih klinikal," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amorim turut memuji peranan bekas penyerang Wolves, Matheus Cunha yang kini menjadi nadi penting jentera serangan United.

Pemain antarabangsa Brazil itu melakukan lapan percubaan dan menyumbang bantuan gol (assist) untuk jaringan pembukaan Fernandes serta memainkan peranan dalam gol Mbeumo.

"Pemain mempunyai kualiti untuk bertukar posisi, terutamanya jika anda menurunkan pemain seperti Matheus Cunha.

"Dia bergerak lebih bebas berbanding penyerang nombor sembilan tipikal, jadi kami memanfaatkan kelebihan tersebut untuk membuka ruang," ujar Amorim.

Ringkasan AI

  • Ruben Amorim menyatakan Manchester United bermain lebih baik berbanding musim lalu setelah menang 4-1 ke atas Wolverhampton Wanderers
  • Kemenangan itu menempatkan United di tangga keenam liga dengan dua gol dari Bruno Fernandes dan gol dari Bryan Mbeumo serta Mason Mount
  • Amorim menekankan peningkatan dalam mencipta peluang dan menjaringkan gol sebagai bukti kemajuan pasukan
  • Walaupun mencatatkan 27 percubaan dalam perlawanan, Amorim merasa penyudah pasukan masih boleh diperbaiki
  • Matheus Cunha dipuji kerana peranannya yang penting dalam serangan, termasuk sumbang assist dan libatan dalam gol

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!