MyDigital ID mampu bendung penipuan dalam talian

PUTRAJAYA – Jenayah penipuan dalam talian dijangka berkurangan selepas kerajaan melaksanakan penggunaan MyDigital ID bagi pembelian, pendaftaran dan pengesahan SIM kad prabayar bermula 1 Disember lalu.
Langkah itu dilihat mampu menghalang penjenayah daripada mendaftarkan nombor telefon baharu untuk menyamar dan memperdaya mangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim, syarat pengesahan identiti itu menyukarkan taktik scammer yang sebelum ini mudah membeli SIM kad baharu untuk melakukan tipu daya melalui panggilan atau mesej.

Beliau berkata, penerimaan rakyat terhadap sistem identiti digital menunjukkan perkembangan positif dengan 6.3 juta pengguna berdaftar setakat ini, hasil usaha mempercepat proses pendaftaran yang kini mengambil masa kurang satu minit.
Menurut Nik Hisham, penerimaan MyDigital ID serta penggunaan perkhidmatannya semakin meningkat. Jika dua bulan lalu jumlahnya sekitar 100,000, namun kini ia mencecah 400,000 seminggu berikutan kesedaran orang ramai yang semakin tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa fungsi utama MyDigital ID ialah mengesahkan identiti sebenar pengguna melalui padanan wajah dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sekali gus memastikan hanya pemilik sah boleh menggunakan identiti tersebut.
Nik Hisham turut menggalakkan rakyat mendaftar segera, memandangkan MyDigital ID bakal digunakan lebih meluas dalam pelbagai aplikasi kerajaan dan seterusnya sektor swasta.
“Kemudahan log masuk satu ID ini akan memudahkan banyak urusan. Sekarang untuk aplikasi kerajaan dan tidak lama lagi aplikasi swasta juga akan menggunakan MyDigital ID,” katanya ketika ditemui pada program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kerjasama MyDigital ID kini diperluas kepada agensi kerajaan, sektor swasta serta pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), selain beberapa PBT lain yang kini dalam proses pelaksanaan.
Selain itu, penyertaan MyDigital ID digerakkan bersama sokongan rakan-rakan strategik Honor, Perodua, Grab, Tenaga Nasional Berhad (TNB), XOX, CTOS dan U Mobile.
“Kami juga baru menandatangani memorandum persefahaman dengan Kerajaan Negeri Sarawak, dan akan disusuli Selangor serta Perlis. Lebih banyak PBT akan menggunakan MyDigital ID untuk urusan pembaharuan lesen, pembayaran cukai dan aplikasi perbandaran,” tambahnya.
Nik Hisham yakin peluasan penggunaan merentas sektor akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem identiti digital negara dan membantu membanteras jenayah siber secara menyeluruh.
Reaksi pemenang cabutan bertuah ‘Satu ID, Sejuta Peluang’

“Saya memang sudah lama menggunakan MyDigital ID kerana ia memudahkan banyak urusan dengan agensi kerajaan. Dalam satu ID sahaja kita boleh selesaikan pelbagai urusan tanpa perlu hadir ke kaunter”- Shazian Shukri Mat Lud, pemenang Honor X7d.

“Mereka yang belum mendaftar, lakukanlah segera kerana banyak kelebihan apabila mempunyai identiti digital yang selamat dan diiktiraf. Saya yakin dengan tahap kerahsiaan dan keselamatan MyDigital ID,”- Nurfarah Aqilah Ahmad Nizam, pemenang Honor 400 Pro
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


