Utamakan keselamatan selepas banjir - TNB

A
A
A

 

KUALA LUMPUR – Musim banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini menuntut orang ramai agar lebih berwaspada, khususnya berkaitan keselamatan elektrik selepas air surut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dahan pokok yang menyentuh atau berada berdekatan talian elektrik, susulan risiko renjatan yang masih boleh berlaku walaupun bekalan kelihatan terputus.

Menurut TNB, bekalan elektrik mungkin masih disalurkan pada sesetengah talian yang terjejas, justeru sebarang tindakan memotong dahan, membersihkan kawasan atau bekerja berhampiran pepasangan elektrik tidak harus dilakukan tanpa kepakaran.

“Jauhi dahan pokok yang mengenai talian elektrik dan segera hubungi TNB sekiranya ternampak keadaan berbahaya. Keselamatan orang ramai adalah keutamaan,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, TNB turut mengingatkan pengguna supaya memastikan semua suis utama dimatikan sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian di dalam rumah. Sebarang perkakas elektrik yang terendam pula perlu diperiksa terlebih dahulu oleh kontraktor bertauliah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

Ibu bapa juga disaran mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka menghampiri tiang atau kabel yang kelihatan rosak.

Untuk panduan lebih lengkap, orang ramai boleh merujuk kit keselamatan elektrik yang disediakan dalam empat bahasa melalui pautan: www.tnb.com.my/floodsafetytips.

Artikel Berkaitan:

TNB menegaskan, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan sepanjang tempoh pasca banjir, serta mengurangkan risiko kemalangan berkaitan elektrik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!