Manfaatkan kestabilan politik untuk rancang program demi rakyat - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kerja Raya sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, pada Isnin. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kerja Raya sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu memanfaatkan kestabilan politik yang dikecapi negara buat masa ini untuk merangka dan melaksanakan program jelas demi kebaikan rakyat.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, kestabilan politik Malaysia kini membolehkan kerajaan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, mengurangkan kadar pengangguran dan merekodkan kadar kemasukan pelaburan tertinggi dalam sejarah.

"Beberapa tahun sebelum ini, negara kita terumbang-ambing politiknya... sekarang, tiga tahun kerajaan dan politik negara stabil... Alhamdulillah, bila stabil, hasilnya kita hampir berjaya noktah kemiskinan tegar.

"Saya tidak mahu mendabik dada kata usaha saya seorang... ini usaha Jemaah Menteri yang ada tekad bersama, kemudian KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) terjemahkannya di peringkat pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Shamsul Azri.

Perdana Menteri bagaimanapun mengakui masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu ditangani bagi memastikan kejayaan yang lebih gemilang.

"Bukan maksudnya (ada kelemahan) itu kita meremehkan apa yang telah kita lakukan, tetapi kita perlu akui ada ruang untuk diperbaiki.

"Saya tekankan kadang-kadang dalam pertarungan kita, baik (daripada segi) politik, perselisihan faham, ideologi, kaum, suku kaum dan negeri, kadangkala hilang nilai kemanusiaannya," kata beliau.

Mengulas mengenai usaha berterusan Kerajaan MADANI memerangi rasuah, Anwar melahirkan rasa dukacita dengan kewujudan satu trend yang cenderung mengagung-agungkan pemberi rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Kita kata kita benci rasuah tetapi bila ambil tindakan, kalau kena kepada kawan kita, kita marah.

"Bukan setakat itu, kita sekarang ada pula trend aliran untuk mendewakan dan mengagungkan pemberi rasuah, saya fikir (ini) sangat menggusarkan kerana ini tidak akan mampu mengangkat negeri dan negara kita," katanya. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya memanfaatkan kestabilan politik untuk kebaikan rakyat
  • Kestabilan politik memungkinkan pertumbuhan ekonomi, pengurangan pengangguran, dan rekor tertinggi kemasukan pelaburan
  • Anwar mengakui usaha mengatasi kemiskinan tegar adalah kolektif, bukan individu semata
  • Terdapat kekurangan yang harus ditangani untuk mencapai kejayaan lebih gemilang
  • Anwar mengecam trend mengagungkan pemberi rasuah, menegaskan ia merugikan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!