Serangan semburan lada cetus kecoh di Lapangan Terbang Heathrow

LONDON – Lapangan Terbang Heathrow di sini gempar apabila beberapa individu diserang menggunakan bahan dipercayai semburan lada di bangunan parkir Terminal 3 pada pagi Ahad.
Menurut Polis Metropolitan, seorang lelaki telah ditahan manakala beberapa suspek lain melarikan diri selepas insiden itu.
Serangan berkenaan turut menyebabkan gangguan trafik ke lapangan terbang selain perkhidmatan tren tergendala.
Pihak pengurusan Heathrow menerusi kenyataan di laman sesawang menasihatkan orang ramai supaya memperuntukkan masa tambahan ketika menuju ke lapangan terbang serta menyemak status penerbangan dengan syarikat masing-masing.
Ekoran kejadian itu, pegawai bersenjata telah dikerahkan ke lokasi sebelum berjaya menahan seorang suspek.
Polis kini giat mengesan ahli kumpulan lain yang dipercayai terlibat.
Perkhidmatan Ambulans London mengesahkan beberapa mangsa dirawat di lokasi sebelum dibawa ke hospital dan polis memaklumkan kecederaan mereka tidak mengancam nyawa.
Komander Polis Metropolitan, Pete Stevens berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran membabitkan individu yang saling mengenali dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur keganasan.
Walaupun berlaku gangguan trafik di sekitar Terminal 3, operasi terminal berkenaan dilaporkan berjalan seperti biasa. – Agensi
Ringkasan AI
- Lapangan Terbang Heathrow, London digemparkan dengan serangan semburan lada di bangunan parkir Terminal 3
- Seorang lelaki telah ditahan manakala beberapa suspek lain melarikan diri
- Serangan itu menyebabkan gangguan trafik dan perkhidmatan tren
- Orang ramai dinasihatkan memperuntukkan masa tambahan menuju ke lapangan terbang
- Komander Polis Metropolitan menyatakan kejadian itu berpunca daripada pertengkaran tanpa unsur keganasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

