Lelaki terjatuh ketika periksa bot ditemukan lemas

CHUKAI - Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh ketika sedang memeriksa bot miliknya di Jeti Geliga Che Akob dekat Sungai Kemaman di sini pada Jumaat lepas, ditemukan lemas pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mayat Muhammad Anuar Syurkimie Mahmmod, 31, ditemukan terapung di Sungai Kemaman sejauh 500 meter dari lokasi kejadian pada jam 9.05 pagi.
"Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat setelah operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada jam 7 pagi.
"Operasi SAR hari ini menggunakan teknik pencarian di permukaan air melibatkan beberapa buah bot pada jarak radius satu kilometer dari tempat kejadian, menghala ke arah Kuala Kemaman," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke pusat kawalan tempat kejadian bagi proses pengecaman ahli keluarga sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dipercayai tergelincir di jeti tersebut ketika berlaku fenomena air pasang besar.
Bagaimanapun pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.26 petang Sabtu. Foto Bernama
Ringkasan AI
- Lelaki hilang selepas terjatuh ketika memeriksa bot di Jeti Geliga Che Akob, Sungai Kemaman
- Ditemukan lemas 500 meter dari lokasi kejadian
- Operasi SAR menggunakan teknik pencarian di permukaan air
- Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat
- Mangsa tergelincir di jeti akibat fenomena air pasang besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
