Murid Tahun Enam hilang dihanyutkan arus ketika mandi sungai

DUNGUN – Seorang murid lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kampung Delong, di sini sekitar jam 5.45 petang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa dikenali sebagai Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Delong, di sini dikatakan mandi bersama empat rakannya sebelum kejadian.
"Ketika leka mandi, mangsa tiba-tiba dibawa arus deras sungai berkenaan sebelum disedari oleh rakan-rakannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shahrizal Shamsudin memaklumkan, seramai 15 anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
Menurut beliau, operasi pencarian dijalankan sehingga malam dengan bantuan anggota polis serta penduduk kampung.
"Seramai tujuh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut melakukan selaman kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Selain itu, pencarian di sepanjang pesisir sungai turut digerakkan dengan menggunakan dua buah bot," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
