Suami nekad bergelut selamatkan isteri daripada penjenayah ceroboh rumah

Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Gambar kecil: Zaiham
Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Gambar kecil: Zaiham
A
A
A

BENTONG- Seorang lelaki nekad bergelut melepaskan isterinya daripada tangan penjenayah yang menceroboh masuk rumahnya di Taman Bentong Makmur, di sini pada Khamis lalu.

Tindakan berani lelaki berusia 36 tahun itu berjaya menyelamatkan nyawa isterinya apabila suspek terus melarikan diri selepas berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan leher.

Menurutnya, suspek berjaya melepaskan diri melalui balkoni rumah di tingkat atas dengan tangan kosong.

"Siasatan awal pihak polis mendapati suspek masuk ke dalam rumah mangsa dengan memanjat pagar rumah jiran yang tidak berpenghuni.

"Suspek seterusnya naik ke balkoni bilik tidur di tingkat satu dan masuk ke dalam rumah itu melalui pintu bilik tidur yang tidak berkunci," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Zaiham berkata, menyedari mangsa berada seorang diri di ruang tamu, suspek bertindak memaut leher dan menutup mulut wanita itu dari arah belakang.

"Suami mangsa yang kebetulan pulang ke rumah pada waktu itu menyedari kejadian tersebut dan terus bergelut dengan suspek.

"Walau bagaimanapun, suspek berjaya melepaskan diri namun gagal melarikan barang berharga milik mangsa," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, susulan kejadian, pihak polis segera menggerakkan pasukan untuk mengesan suspek.

Katanya, bertindak atas maklumat orang awam, polis berjaya mengesan dan memberkas suspek berusia 21 tahun itu di kawasan premis perniagaan Taman Bentong Makmur kira-kira jam 11 malam hari sama.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek yang memiliki satu rekod jenayah lampau itu kini ditahan reman sehingga 9 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Zaiham berkata, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah agar penjenayah dapat diberkas dalam tempoh yang singkat.

Ringkasan AI

  • Lelaki nekad bergelut melepaskan isterinya dari tangan penjenayah di Taman Bentong Makmur
  • Suspek melarikan diri selepas pergelutan tetapi gagal mencuri barang berharga
  • Mangsa mengalami kecederaan ringan, suspek masuk rumah melalui pintu bilik tidur yang tidak berkunci
  • Polis berjaya menangkap suspek berusia 21 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine
  • Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!