PM belum panggil DAP bincang rombakan Kabinet

Anthony (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral, pada Sabtu.
Anthony (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral, pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memanggil pemimpin DAP untuk mengadakan perbincangan berhubung rombakan Kabinet mahupun jawatan kosong menteri ketika ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, urusan berkaitan penyusunan semula Kabinet sememangnya kuasa prerogatif Perdana Menteri, namun perbincangan akan dibuat bersama ketua setiap parti.

"Ini perbincangan antara ketua parti dengan Perdana Menteri. Setakat ini, Perdana Menteri belum berbincang dengan saya.

"Bila dalam perbincangan itu, maka setiap parti sudah tentu akan memberikan pandangan masing-masing dan saya sendiri akan bagi pandangan secara bersemuka dengan beliau," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral, di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Seremban itu turut memberitahu yang beliau masih belum diberikan sekarang petanda oleh Perdana Menteri bila pengumuman berkaitan rombakan Kabinet itu akan dibuat.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi Menteri dari DAP, Anthony berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri.

Anwar sebelum ini memaklumkan hanya akan melakukan rombakan kecil dalam Kabinetnya, di mana ia hanya mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri.

Langkah itu dibuat berikutan tempoh Kabinet di bawa pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbirannya berakhir.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini juga media melaporkan yang rombakan Kabinet dijangka diumumkan Perdana Menteri pada awal Disember ini.

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memanggil pemimpin DAP untuk perbincangan tentang rombakan Kabinet
  • Anthony Loke menyatakan perbincangan mengenai penyusunan semula Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri dan akan dibuat bersama ketua parti
  • Setakat ini, tiada perbincangan yang telah diadakan antara Perdana Menteri dengan Setiausaha Agung DAP
  • Anthony Loke masih belum diberi sebarang petanda bila pengumuman rombakan Kabinet akan dibuat
  • Anwar sebelum ini memberitahu rombakan Kabinet akan kecil dan bertujuan mengisi kekosongan jawatan menteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!