Rasuah lagi? pegawai, kakitangan awam tidak terlepas tindakan

Perdana Menteri tegaskan tiada pegawai awam terlibat rasuah wajar dilindungi. - Gambar hiasan
Perdana Menteri tegaskan tiada pegawai awam terlibat rasuah wajar dilindungi. - Gambar hiasan
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada pegawai awam yang terlibat dalam rasuah wajar dilindungi, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau pengaruh politik.

Beliau berkata, prinsip tersebut mesti dipegang bagi memastikan integriti sistem pentadbiran negara terus terpelihara, susulan isu integriti dalam sektor awam kembali menjadi perhatian, khususnya melibatkan kes yang membabitkan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.

Situasi tersebut menimbulkan persoalan tentang sejauh mana penjawat awam benar-benar mematuhi standard etika dan undang-undang yang ditetapkan.

Anwar turut menekankan bahawa semua siasatan terhadap dakwaan rasuah mesti dilaksanakan secara telus, bebas dan tanpa sebarang campur tangan, sama ada daripada pihak politik mahupun pengurusan atasan.

“Memegang jawatan tinggi tidak seharusnya menjadi perisai untuk melanggar undang-undang,” tegas beliau.

Pendirian tegas Perdana Menteri itu dilihat sebagai usaha mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memerangi gejala rasuah di semua peringkat.

Namun begitu, realitinya isu rasuah dalam kalangan pegawai awam masih berleluasa dan terus menjadi kebimbangan utama masyarakat.

Justeru, penguatkuasaan undang-undang memerlukan mekanisme siasatan yang benar-benar bebas dan tegas, bukannya sekadar arahan di atas kertas atau tindakan simbolik semata-mata.

Dari sudut politik, pendirian ini penting bagi menepis persepsi bahawa tindakan undang-undang terhadap penjawat awam boleh bersifat ‘pilih kasih’ atau dipengaruhi oleh kedudukan dan hubungan politik.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, kenyataan Anwar turut meningkatkan harapan rakyat agar mereka yang bersalah benar-benar diheret ke muka pengadilan, kerana sebarang kegagalan menunaikan janji ini berpotensi menjejaskan kredibiliti kerajaan di mata masyarakat.

Ia juga memberi mesej jelas kepada seluruh penjawat awam bahawa etika, akauntabiliti dan kejujuran merupakan asas penting dalam setiap keputusan dan tindakan, termasuk bagi mereka yang berada di peringkat tertinggi pentadbiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!