Bung Moktar cekal hidupkan UMNO di Sabah - Ahmad Zahid

KOTA KINABALU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai seorang pemimpin yang menjadi pemacu utama kepada kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah.
Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, kepimpinan UMNO dan BN di seluruh peringkat amat terkesan dengan pemergian tokoh itu yang dianggap bukan sahaja sebagai sahabat, tetapi juga salah seorang pemimpin penting dalam UMNO di peringkat nasional dan khususnya di Sabah.
"Rakan-rakan kepimpinan UMNO dan BN berasa amat pilu dan sedih dengan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, sahabat dan salah seorang pemimpin UMNO di peringkat nasional dan negeri Sabah.

"Kami kehilangan beliau yang amat sangat," katanya sebak mengenang rakan seperjuangan yang meninggalkan mereka pada awal pagi Jumaat.
Mengulas peranan Allahyarham dalam menghidupkan kembali UMNO Sabah selepas 2018, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN melihat Bung Moktar adalah antara tonggak yang terus mempertahankan parti ketika ramai memilih untuk meninggalkan perjuangan.
"Pada tahun 2018, beliau adalah seorang daripada tiga ketua bahagian daripada 25, yang kekal cekal dalam UMNO dan terus menghidupkan parti ini.
"Beliau merupakan pemacu kebangkitan semula UMNO di Sabah dan juga di peringkat nasional. Saya amat bersyukur atas segala sumbangan beliau sepanjang memimpin UMNO Sabah," katanya.

Ahmad Zahid turut berharap kesinambungan kepimpinan dan semangat perjuangan Bung Moktar akan diteruskan oleh pimpinan yang masih ada.
"Insya-ALLAH, kita mohon agar UMNO Sabah terus relevan dalam landskap politik negeri ini," katanya.
Sebelum itu, beliau sempat menyertai solat jenazah bersama ribuan jemaah yang hadir di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Solat jenazah dilakukan sejurus selesai solat Jumaat yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Imam Suhaidi Kuanting dan selesai sekitar jam 1.20 tengah hari.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul dan beberapa pemimpin lain.
Ringkasan AI
- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menganggap Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemacu utama kebangkitan UMNO dan BN Sabah
- Kepemimpinan UMNO dan BN amat terkesan dengan pemergian Bung Moktar sebagai pemimpin penting di peringkat nasional dan Sabah
- Bung Moktar diakui sebagai tonggak dalam mempertahankan dan menghidupkan kembali UMNO Sabah selepas 2018 ketika ramai meninggalkan perjuangan
- Ahmad Zahid berharap kepimpinan dan semangat perjuangan Bung Moktar diteruskan oleh pimpinan yang masih ada
- Solat jenazah Bung Moktar dihadiri ribuan jemaah dan pemimpin tinggi termasuk Yang di-Pertua Negeri Sabah serta beberapa menteri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
