Alasan nak jaga keselamatan, rakan sekerja kantoi berkhalwat

KOTA TINGGI – Dua rakan sepejabat yang dihantar ke luar daerah atas tugasan kerja ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel, malam Khamis.
Menurut JAINJ, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 malam ketika pasukan penguatkuasa menjalankan pemeriksaan berkala.
"Pintu bilik diketuk beberapa kali sebelum dibuka oleh seorang wanita berusia 40-an, dalam keadaan yang mengundang syak.
"Keadaan bilik yang gelap mendorong penguat kuasa menyalakan lampu untuk pemeriksaan lanjut. Pintu bilik air yang berkunci turut menimbulkan keraguan sebelum seorang lelaki berusia 30-an keluar selepas beberapa ketika," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mereka bukan mahram, masing-masing berstatus duda dan janda serta datang ke daerah atas urusan kerja menggunakan kenderaan berasingan.
"Bilik disewa atas nama wanita yang menyewa hotel atas urusan kerja dan 'claim' dengan majikan lelaki datang ke bilik tu. Beg dan pakaian wanita ditemui tetapi tiada kepunyaan lelaki.
"Mereka adalah rakan sepejabat dari sebuah daerah lain yang mempunyai urusan kerja di Kota Tinggi. Mereka datang dengan dua kereta yang berasingan.
"Oleh kerana mereka satu pejabat, hubungan mereka cukup intim. Bagaimanapun, di pejabat mereka kena menunjukkan etika kerja yang terpuji," ujarnya.
Menurut JAINJ lagi, lelaki terbabit memberi alasan hadir untuk 'menjaga keselamatan' rakan sekerjanya, namun penjelasan itu tidak melepaskan mereka daripada tindakan undang-undang.
"Kedua-duanya dibawa ke balai polis sebelum diserahkan kepada JAINJ untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor," tambahnya.
Ringkasan AI
- Dua rakan sepejabat ditahan bersama di sebuah bilik hotel atas tuduhan berkhalwat
- Serbuan dijalankan oleh penguatkuasa JAINJ sekitar jam 10.30 malam
- Mereka disyaki berada dalam keadaan mencurigakan kerana pintu bilik dikunci dan keadaan bilik yang gelap
- Siasatan awal mendapati mereka bukan mahram dan datang ke daerah atas urusan kerja
- Kedua-duanya dibawa ke balai polis dan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

