Lepas menang, jangan hilang!

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah pun selesai. Riuh rendah kempen dan ceramah sudah senyap, tangan pun tak lagi lenguh bersalam, dan jentera parti yang beberapa minggu lalu sibuk berarak kini kembali ke rutin masing-masing.
Kita sudah tahu siapa berjaya membentuk kerajaan. Bab itu selesai.
Yang belum selesai hidup rakyat. Memanglah pentas pilihan raya telah ditutup tetapi orang biasa yang setiap hari bangun untuk mencari rezeki masih bergelut dengan masalah tiga serangkai - air, elektrik dan jalan raya yang berlubang seperti permukaan bulan.
Jadi, kepada calon yang menang, ingatlah mandat itu bukan ‘cenderamata’ selepas penat berkempen. Ia amanah kepada rakyat yang telah mengundi anda.
Merak Jalanan cuma mahu mengingatkan satu perkara. Lepas menang, jangan pula hilang daripada radar.
Semasa kempen bukan main rajin turun padang, masuk kampung, singgah pasar.
Kalau banjir sanggup harung air banjir, kalau rumah penduduk dindingnya tercabut, sanggup pegang tukul besi baiki apa yang patut.
Bila rakyat dah beri kepercayaan, eloklah kerajinan itu diteruskan, bukan hanya wayang semata-mata atau rajinnya ‘bermusim’.
Kalau dua minggu sebelum undi boleh berlari ke sana sini, takkan selepas menang terus hilang tak nampak muka?
Kerana hakikatnya, rakyat tidak menilai pemimpin melalui poster besar atau janji yang sedap di telinga.
Rakyat menilai dengan tindakan dan kesungguhan pemimpin menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka.
Kini masanya untuk menunaikan janji. Rakyat tak minta bulan dan bintang tetapi cukuplah dengan pemimpin yang tak lupa siapa yang mereka wakili.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
