Bung Moktar alami kegagalan buah pinggang, jangkitan paru-paru - Jafry

KOTA KINABALU – Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin mengesahkan bahawa Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini berada dalam keadaan kesihatan yang serius selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.
Ketika dihubungi Sinar Harian, beliau menyampaikan permohonan agar orang ramai mendoakan kesembuhan pemimpin berkenaan.
"Kedua-dua buah pinggang mengalami kegagalan dan paru-paru dijangkiti dengan teruk.
"Mohon doakan agar segala urusan dipermudahkan," katanya ringkas.
Terdahulu, Sinar Harian turut melaporkan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, dan dilaporkan dalam keadaan kritikal oleh sebuah portal berita tempatan.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir ketika dihubungi Sinar Harian, memaklumkan bahawa Bung Moktar hanya memerlukan rawatan dan rehat ketika ini.
"Perlu rawatan dan rehat saja, okey," jawabnya ringkas.
Beberapa pimpinan tertinggi Sabah turut menitipkan doa untuk kesembuhan Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag.
Antaranya termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; serta beberapa pemimpin lain.
Ringkasan AI
- Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk paru-paru
- Datuk Jafry Ariffin meminta orang ramai mendoakan kesembuhan Bung Moktar
- Bung Moktar sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu dan dalam keadaan kritikal
- Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menyatakan Bung Moktar hanya memerlukan rawatan dan rehat
- Pimpinan tertinggi Sabah termasuk Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Ketua UMNO Sabah menitipkan doa untuk kesembuhan Bung Moktar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
