BAM sasar 4 pingat emas pada Sukan SEA 2025

[DIKEMAS KINI] PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand, yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mereka turut menyasarkan keseluruhan tujuh pingat pada temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata, sasaran itu berdasarkan prestasi dan ranking dunia semasa, dengan prospek utama Malaysia dalam acara beregu campuran, beregu lelaki, beregu wanita serta acara berpasukan lelaki, berdasarkan pencapaian mereka sebelum ini.
"Saya juga telah berbincang (hantar barisan terkuat) dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan pihak pengurusan bahawa ini adalah keputusan, keputusan bersama, saya fikir para jurulatih juga bersetuju.
"Jadi kami harus memberikan yang terbaik untuk negara dan perlu diingat bahawa Malaysia bukan satu-satunya negara yang menurunkan barisan terbaik. Jika anda melihat negara lain, mereka juga telah memutuskan untuk menurunkan barisan terbaik,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bendera kepada pemain badminton Malaysia di sini hari ini.
Pada Oktober lepas, BAM mengumumkan barisan terkuat mereka untuk edisi ke-33 temasya itu, antaranya dua juara dunia iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
Selain menamakan Aaron-Wooi Yik dan Tang Jie-Ee Wei, BAM turut meletakkan kepercayaan kepada naib juara Kejohanan Dunia 2025 Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita), Leong Jun Hao dan Justin Hoh (perseorangan lelaki) serta K. Letshanaa dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita).
Turut disenaraikan ialah Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Go Pei Kee-Teoh Mei Xing (beregu wanita) serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).
Kesemua yang disenaraikan itu juga akan beraksi dalam acara berpasukan masing-masing.
Mereka akan dibantu oleh Eogene Ewe dan Aidil Sholeh Ali Sadikin dalam acara berpasukan lelaki serta oleh Siti Zulaikha Muhammad Azmi dan Eng Ler Qi dalam acara berpasukan wanita.
Sukan SEA 2025 akan dianjurkan di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi. - Bernama
Ringkasan AI
- BAM menetapkan sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand
- Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyatakan keseluruhan sasaran pingat adalah tujuh
- Sasaran berdasarkan prestasi dan ranking semasa dengan fokus kepada beregu campuran, beregu lelaki dan wanita serta berpasukan lelaki
- Barisan terkuat BAM termasuk dua juara dunia dan naib juara dunia dalam acara beregu dan perseorangan
- Sukan SEA 2025 akan diadakan di Bangkok dan Chonburi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
