KESUMA rancang bina pusat rehabilitasi pekerja di setiap negeri

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merancang untuk membina pusat rehabilitasi pekerja di setiap negeri namun ia bergantung dengan kemampuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menterinya, Steven Sim berkata, PERKESO setakat ini mempunyai dua pusat rehabilitasi iaitu di Melaka dan Perak manakala sebuah lagi sedang dalam pembinaan di Terengganu selain rancangan pembinaan pusat sama di Pulau Pinang seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 baru-baru ini.
“PERKESO juga mempunyai empat Pusat Satelit Rehabilitasi iaitu di Shah Alam, Tanjung Pelepas, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur.
“Kita juga mempunyai 261 panel Pusat Rehabilitasi PERKESO di seluruh negara yang mampu menampung pesakit atau orang berinsurans untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mengenai perancangan PERKESO bagi memastikan perkhidmatan rehabilitasi dapat menampung permintaan pekerja setelah pelaksanaan Skim Lindung 24/7 PERKESO.
Mengulas lanjut, Steven berkata, lebih 25,000 pesakit dalam kalangan pekerja sudah dirawat sejak 2014 di pusat rehabilitiasi yang ditubuhkan PERKESO dengan 70 peratus daripadanya berupaya kembali ke alam pekerjaan.
Menurutnya, baki 30 peratus memilih untuk bersara walaupun ada dalam kalangan mereka sudah pulih dan mampu berfungsi secara normal.
“Pusat rehabilitasi dijangka masih dapat menampung permintaan pekerja walaupun selepas Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24/7 melalui pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja 2025.
“KESUMA juga komited mengurangkan kadar menunggu bagi proses rawatan dari tiga bulan kini kepada sebulan,” ujar beliau.
Sementara itu, Steven memaklumkan, KESUMA tidak menolak untuk meneliti cadangan pembinaan hospital pekerja di negara ini seperti diwujudkan di Turkiye dan beberapa negara Eropah bagi memberi perkhidmatan rawatan khusus untuk golongan itu.
Bagaimanapun beliau memberitahu, buat masa ini pihaknya melihat jaringan hospital kerajaan di seluruh negara berupaya menampung rawatan terhadap pekerja.
"Hospital kerajaan di negara ini juga saya kira adalah untuk hospital pekerja... tiada masalah, namun mungkin dalam keadaan ini kita ambil ia sebagai satu cadangan. Saya rasa hospital sedia ada jaringannya (sudah) mampu memberi perkhidmatan termasuk kepada golongan pekerja," katanya.
Ringkasan AI
- KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia merancang membina pusat rehabilitasi pekerja di setiap negeri bergantung kemampuan PERKESO
- PERKESO mempunyai dua pusat rehabilitasi di Melaka dan Perak, satu dalam pembinaan di Terengganu dan rancangan di Pulau Pinang
- Empat Pusat Satelit Rehabilitasi di Shah Alam, Tanjung Pelepas, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur
- Lebih 25,000 pesakit pekerja dirawat sejak 2014 dengan 70% kembali bekerja
- KESUMA bertujuan mengurangkan tempoh menunggu rawatan dari tiga bulan kepada sebulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

