Covid-19: 9 ditahan langgar PKP di Ampang

Noor Azmi
Noor Azmi
A
A
A

AMPANG - Polis menahan sembilan individu termasuk dua warga asing berhubung siasatan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, siasatan mendapati dua warga asing yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Menurutnya, seorang lagi pula ditahan kerana disyaki memberi maklumat palsu kepada pihak pegawai perubatan.

"Kita juga telah membuka empat kertas siasatan yang melibatkan kes berkaitan PKP. Antara seksyen terlibat adalah Seksyen 22(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit, Seksyen 7 Peraturan-Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi, Akta Polis, Akta Imigresen, Kanun keseksaan dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noor Azmi, sepanjang tempoh PKP bermula dari 18 Mac hingga semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah melakukan pelbagai langkah pencegahan dalam usaha untuk mengawal pergerakan orang ramai seperti sekatan jalan raya (SJR), pemeriksaan dan pemantauan seluruh kawasan.

Katanya, pihaknya ingin memberi amaran kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi PKP yang masih berjalan sehingga 14 April depan.

"Masyarakat juga dinasihatkan supaya memberikan bekerjasama dengan polis dalam membantu memberi maklumat apa-apa kes jenayah atau berkaitan PKP.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang telah dikuarantin di rumah diingatkan supaya patuh kepada perintah kuarantin berkenaan dan sekiranya masih berdegil, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!