Heritage Ride Taiping tonjol warisan, barakan semangat belia

Kah Woh (dua, kanan) bersama pemenang Kategori 60km Kayuhan Heritage Ride Taiping 2025.
Kah Woh (dua, kanan) bersama pemenang Kategori 60km Kayuhan Heritage Ride Taiping 2025.
A
A
A

TAIPING - Lebih 2,200 peserta memeriahkan Heritage Ride Taiping 2025 pagi ini, sekali gus menjadikan edisi kali ini antara penganjuran terbesar sejak acara itu diperkenalkan tahun lalu.

Kayuhan sejauh 90 kilometer (km), 60 km dan 20 km itu bermula di Dataran Warisan Taiping sebelum peserta melalui laluan sekitar Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting yang menampilkan gabungan suasana bandar, warisan lama dan kehijauan alam semula jadi.

Acara anjuran Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn. Bhd. itu terus mendapat sambutan luar biasa daripada penggiat sukan berbasikal, keluarga dan belia yang menjadikan kayuhan ini sebagai platform rekreasi serta penyatuan komuniti.

Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata penganjuran kali ini mengekalkan semangat tahun lalu, namun lebih memberi tumpuan kepada usaha mengangkat warisan bandar itu dan memperkukuh penglibatan generasi muda.

“Tahun lalu, kita anjurkan sempena ulang tahun ke-150 Taiping. Tahun ini, semangat itu diteruskan untuk menjadikan warisan sebagai momentum menggerakkan masyarakat melalui sukan, sejarah dan kesihatan,” katanya.

Kah Woh (dua, kanan) bersama pemenang Kategori 90km Kayuhan Heritage Ride Taiping 2025.
Kah Woh (dua, kanan) bersama pemenang Kategori 90km Kayuhan Heritage Ride Taiping 2025.

Menurut beliau, Heritage Ride kini berkembang daripada sekadar acara sukan kepada program yang mempromosi gaya hidup sihat serta menyuburkan hubungan komuniti.

Edisi 2025 turut menerima suntikan baharu apabila Kademy Sdn. Bhd. tampil sebagai penaja utama.

Penajaan itu sekali gus membuka peluang kepada 250 pelajar berusia 7 hingga 17 tahun menyertai acara secara percuma menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif tersebut mendorong lebih ramai pelajar mendekati sukan berbasikal sebagai aktiviti rutin yang menyihatkan, selain memperkenalkan mereka kepada konsep warisan dan rekreasi secara lebih dekat.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) meneruskan perkhidmatan tren khas membawa peserta bersama basikal mereka terus ke Taiping tanpa henti di stesen lain. Perkhidmatan itu habis ditempah lebih awal susulan permintaan tinggi daripada peserta yang mahu tiba lebih awal untuk membuat persiapan.

Di Dataran Warisan, suasana ceria turut dilengkapi dengan kehadiran trak makanan, cabutan bertuah dan aktiviti interaktif daripada penaja, menjadikan kawasan itu lokasi perhimpunan keluarga dan komuniti sepanjang acara.

Pemenang setiap kategori menerima pingat dan hadiah wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian dalam kayuhan masing-masing.

Heritage Ride Taiping 2025 turut mendapat sokongan Alliance Bank, QIU University, Farm Fresh, Perak Transit, Allianz Insurance dan MB Inc., selain kerjasama Majlis Perbandaran Taiping, Visit Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama.

Ringkasan AI

  • Lebih 2,200 peserta memeriahkan Heritage Ride Taiping 2025 yang bermula di Dataran Warisan Taiping
  • Kayuhan menawarkan tiga jarak iaitu 90km, 60km dan 20km melalui Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting
  • Acara ini dianjurkan oleh Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn Bhd, menerima sambutan hangat daripada komuniti
  • Kademy Sdn Bhd menjadi penaja utama, membolehkan 250 pelajar berusia 7 hingga 17 tahun menyertai secara percuma
  • Keretapi Tanah Melayu Berhad menawarkan perkhidmatan tren khas untuk peserta dan basikal mereka ke Taiping

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!